Thursday, April 14, 2011

Kepimpinan Islam vs Barat







Kepimpinan dalam Islam dan Barat amat berbeza kerana Islam mempunyai landasan yang utuh untuk menjadikan apa jua pengurusan berjalan dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebab itu Allah menjelaskan kepada manusia termasuk barisan kepimpinan untuk meletakkan matlamat utama ialah ketaatan kepada-Nya, kepada rasul dan kemudian barulah ketaatan kepada pemimpin. Seperti mana yang termaktub dalam al-Qur’an surah al-Nisa’ ( 4:59):

Maksud firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan juga kepada Ulil Amri (Orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada kitab Allah (al-Qur’an) dan (sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.


Ibn Kathir, seorang ulama tafsir yang muktabar menyatakan ayat ini diturunkan kepada para pemimpin pada mana-mana peringkat agar menunaikan kewajiban dengan adil dan amanah. Selain itu, kepemimpinan seorang ketua itu pula mestilah berwajarkan keimanan kepada Allah dan rasul supaya kelak natijahnya akan lebih diterima bahkan mendapat keredhaan daripada-Nya. Secara tidak langsung ini merupakan intro kepada sebahagian daripada objektif perancangan pembangunan kepimpinan yang bakal dilaksanakan.


Walaupun begitu, Islam tidak menyempitkan ruang lingkup urusan kepemimpinan kepada hamba-hamba-Nya. Manusia khususnya para pemimpin diberi autonomi untuk mengurus dengan baik hal-hal berkaitan apa sahaja dengan soal pembangunan diri dan kemahiran. Maksud firman Allah:

“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengah mereka menjadi pemimpin kepada setengah yang lain: mereka menyuruh mengerjakan yang baik dan melarang dari mengerjakan yang jahat dan mereka mendirikan sembahyang.”

Surah al-Taubah (9 :71)

Dalam hal ini, disamping mengenengahkan program berkonsepkan acuan Barat, perancangan kepada program pengurusan pembangunan kepimpinan harus mengambil kira prinsip al-tauhidi sebagai tanda kepatuhan mutlak kita kepada-Nya.


2.0 Kepimpinan dalam konteks majmuk

Kepimpinan lebih luas lagi diperdebatkan oleh teori barat. Namun Islam juga telah menjelaskan teori ini dan disebut dengan banyak dalam al-Qur’an. Antaranya dalam surah Sad (38:26). Menifestasi ayat ini menjelaskan ciri-ciri dan sifat kepimpinan yang diterajui oleh kepimpinan teladan iaitu Rasulullah dan nabi-nabi yang lain. Maksud firman Allah:

“Hai Daud! Sesungguhnya kami jadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.”

 
Antara perkara pokok yang disebut dalam ayat tersebut ialah :

i. Bersikap adil

ii. Rasional dan matang

iii. Mengeluarkan keputusan positif


 
Konsep kepimpinan merupakan suatu perkara yang subjektif dan luas ertinya. Terdapat pelbagai pengertian mengenainya diperbahaskan. Antaranya Menurut Hisham al-Talib (1992), kepimpinan adalah satu proses menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke suatu arah yang telah ditentukan melalui dorongan yang tidak memaksa. Huraian ini amat tepat untuk digunakan sebagai konsep keadilan yang dinyatakan dalam ayat di atas. Kerana dalam al-Qur’an ada menyebut proses keadilan dengan maksud yang lebih luas antaranya maksud firman Allah dalam surah al-Nahl (16:90):


“Sesungguhnya Allah menyuruh (kalian) berbuat adil dan berbuat ihsan, memberi kepada kaum kerabat (hak-hak mereka), dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kalian agar kalian dapat mengambil pelajaran.”

Kata kunci dalam ayat ini yang merujuk kepada proses keadilan ialah sikap ihsan, larangan perbuatan keji, larangan melakukan kemungkaran, larangan menimbulkan permusuhan.


Dalam ayat lain Allah menjelaskan:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.”

Surah an-Nisa’ ayat (4: 58).

Mustafa Hj. Daud (1994) berpendapat bahawa kepimpinan adalah satu proses untuk menyelaraskan arahan, mengatur dan mengelakkan penggunaan pendapat sendiri yang boleh merosakkan sesebuah organisasi. Dalam erti kata lain pemimpin bertanggungjawab untuk menjaga keperluan organisasi secara keseluruhannya. Dalam huraian takrifan ini juga diselitkan proses musyawarah sebagai elemen kekuatan dalam kepimpinan. Al-Imam Al-Qurthubiy dalam Al-Jamie' Li Ahkam Al-Quran mengutip pandangan Ibnu 'Athiah, katanya : "Syura adalah dari prinsip syarak dan teras kepada hukum, sesiapa yang tidak bersyura (bermesyuarat) dengan pihak yang berpengetahuan dan ahlinya, maka berpisah dengannya adalah wajib, tiada khilaf lagi dalam kes ini". (Al-Jamie' : Jilid 4 : 249) Hal ini telah disebut dalam al-Qur’an dalam surah al-Syura:

“Dan (untuk) orang-orang yang memperkenankan seruan kepada Tuhannya dan mendirikan solat sedang urusan mereka dengan bermesyuarat (syura) sesama mereka dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Surah al-Syura (42:38)

 
Justeru, kedudukan kepimpinan adalah sangat penting dalam Islam. Sehubungan dengan itu para sahabat dan diwarisi hingga ke hari ini kepimpinan harus dilihat dalam perspektif kepimpinan dalam Islam bukan sahaja merupakan tasyrif atau satu kebanggaan akan tetapi lebih daripada itu kerana ianya merupakan satu taklif yang amat besar kepada insan yang terpilih. Ia hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi prasyarat kepimpinan untuk dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tawakkal kepada Allah.


3.0 Konsep pengurusan kepimpinan

Kepimpinan ataupun disebut ‘the way to lead’ secara asasnya mempunyai empat (4) komponen utama iaitu ilmu, perhubungan, visi dan tindakan (keupayaan mengendali situasi). Secara praktikalnya pemimpin diletakkan di hierarki tertinggi sesebuah organisasi dan kerana itu pemimpin haruslah mempunyai ilmu yang lebih luas berbanding staf lain, mempunyai perawakan yang ‘extra-ordinary’ berbanding individu lain di dalam sesebuah organisasi serta keupayaan memimpin dalam sebarang situasi yang kritikal.

3.1 Ilmu


Dalam al-Qur’an memberi gambaran jelas bahawa ilmu adalah unsur istimewa yang telah memartabatkan kemuliaan manusia berbanding makhluk lain. Ilmu dikurniakan agar manusia menjalankan fungsi kekhalifahan di atas muka bumi. Hal ini dijelaskan dari pengkisahan kejadian manusia pertama iaitu Nabi Adam sebagaimana dinyatakan dalam al-Qur’an .

Maksud firman Allah:

“Dan dia (Allah) mengajarkan kepada Adam, nama-nama (benda-benda) semuanya. Kemudian Dia mengemukakannya kepada para malaikat seraya berfirman, "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar (menurut dugaanmu)." Mereka (para malaikat) menjawab, "Maha Suci Engkau tiada pengetahuan kecuali yang telah Engkau ajarkan. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Baqarah (2:31-32)

Islam telah membahagikan ilmu dalam dua kategori iaitu:

1. Ilmu Fardu ‘Ain, ialah ilmu yang wajib dipelajari dan dikuasai oleh setiap umat Islam seperti asas-asas ilmu aqidah, ibadah, akhlak, al-Quran, Hadith, Tafsir dan lain-lain.


2. Imu Fardu Kifayah, ialah ilmu yang hanya wajib kepada sebahagian dari umat Islam, ini bermakna sebahagian umat Islam wajib mempelajari dan menguasai ilmu fardu kifayah seperti ilmu berkaitan pentadbiran, organisasi, ekonomi, teknologi dan lain-lain. Dalam hal ini seorang pemimpin mestilah mempunyai kemampuan memimpin berdasarkan ilmu pengurusan pentadbiran dan organisasi.


Lebih luas lagi ilmu pengurusan kepimpinan ini akan membawa organisasi ke sebuah mercu yang jelas dan terarah. Malah lebih mendapat petunjuk rahmat dan barakah daripada Allah.

Dalam hal ini juga ilmu berkaitan kapasiti kepimpinan juga penting untuk menggambarkan ciri-ciri kepimpinan

 
3.1.1 Kapasiti Kepimpinan

Ilmu kapasiti kepemimpinan merujuk kepada bagaimana pemimpin membawa penyertaan secara meluas dan beliau pula memiliki para pegawai dan ketua unit-unit kecil yang terlibat secara langsung yang berkemahiran dalam kerja-kerja dengan pengurusan organisasi (Lambert, 1998). Keadaan ini bertujuan menggalakkan penyertaan warga kerja dalam sebarang penambahbaikan yang dilaksanakan.

Hal ini turut disokong oleh Hord dan Leslie (1986) yang menyatakan bahawa sebarang perubahan dan inovasi yang hendak dilaksanakan, perlulah dilakukan dengan cara yang berhikmah dan bijaksana, berserta dengan usahasama antara pemimpin dengan rakan sejawat atau staf bawahan. Walau bagaimanapun kepemimpinan ketua jabatan yang berkesan bukanlah bererti kepemimpinan yang mendorong stafnya membuat perubahan semata-mata, bahkan juga juga merupakan kepemimpinan yang berjaya menyelesaikan pelbagai masalah secara berhemah.

Menurut Lambert (1998), kapasiti kepemimpinan terbentuk hasil daripada lima ciri iaitu:

i. Penyertaan meluas dan penyertaan yang berkemahiran dalam

kerja kepemimpinan

ii. Berasaskan inkuiri iaitu pengguna maklumat

iii. Peranan dan tanggungjawab secara kolaborasi yang meluas

iv. Amalan refleksi atau inovasi sebagai budaya

v. Pencapaian orgainisasi yang tinggi


Kesemua ciri tersebut adalah ciri kritikal bagi kapasiti kepemimpinan dan setiap satunya menyokong atau mempengaruhi antara satu sama lain. Gabungan ciri-ciri tersebut akhirnya akan mempengaruhi pencapaian organisasi atau jabatan. Lambert (1998) telah mengemukakan model kapasiti kepemimpinan untuk melihat perhubungan antara keupayaan (kapasiti) para pegawai dengan kepemimpinan mereka.


3.2 Perhubungan

Perhubungan juga merupakan aktiviti terpenting dalam organisasi kerja. Komunikasi yang baik meningkatkan keharmonian dalam organisasi dan seterusnya meningkatkan produktiviti. Komunikasi bukan suatu perkara yang mudah dan ia perlu dipelajari untuk meningkatkan keberkesanannya. Antara kebaikan yang diperolehi dalam konsep perhubungan dalam pengurusan organisasi ialah:

i. Membolehkan pekerja memahami maksud dan arahan dalam organisasi

ii. Meningkatkan kemahiran serta kemampuan bekerja dengan baik di kalangan staf.

iii. Mewujudkan hubungan yang positif antara pemimpin dan pekerja-pekerja bawahan dalam unit, bahagian atau jabatan.

iv. Mewujudkan suasana harmoni dalam oganisasi apabila pemimpin dan yang dipimpin saling faham memahami antara satu sama lain.

Pekerja, sebagaimana sifat tabii manusia ciptaan Tuhan, tentulah juga mempunyai perasaan, emosi, keinginan dan memerlukan layanan yang bersifat "memberi dan menerima" di samping memerlukan kepuasaan bersifat "win-win situation". Oleh itu, pekerja dalam organisasi sama ada syarikat, institusi, jabatan dan lain-lain perlu berada dalam hubungan "top down" yang autoritatif tetapi harmoni atau hubungan "bottom up”.


Dalam hal ini, psikologi yang dikenali sebagai positive psychology perlu dilaksanakan oleh peringkat kepimpinan. Pendekatan ini boleh dijadikan sebagai asas dalam melaksanakan perubahan dalam pengurusan sumber manusia kerana dikatakan dapat membantu seseorang ke arah membina kualiti kehidupan yang lebih bermakna untuk diri sendiri dan orang lain melalui kaedah, “study what people do right and how do they manage to do it.” Suasana begini menjadi penentu kejayaan dalam pendekatan positive psychology.

Dalam Islam terdapat banyak hadith yang menyentuh hubungan antara manusia dengan manusia. Islam adalah agama kasih sayang sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Bashir r.a:

Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang,berkasihan belas dan menaruh simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota ada yang sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasainya seperti demam dan tidak dapat tidur malam.”


Secara umumnya konsep perhubungan pemimpin yang meliputi penghayatan berdasarkan keimanan dan ilmu perhubungan sosial dan sangat perlu dihayati dan diamalkan oleh pemimpin adalah seperti butiran berikut:-

a. Kemampuan untuk menggunakan kuasa dengan berkesan dan dengan cara bertanggungjawab.

b. Berkemampuan untuk memahami bahawa manusia mempunyai kuasa dorongan yang berlainan pada masa-masa yang berlainan dan dalam situasi yang berlainan – pemahaman tentang perawakan manusia.

c. Kemampuan untuk memberikan inspirasi dan mampu diteladani – keupayaan memotivasi.

d. Kemampuan untuk bertindak dengan berdasarkan pengetahuan, bakat, keterbukaan dan kemahuan pemimpin itu sendiri untuk mewujudkan suasana yang memberi ruang kepada sebarang maklum-balas dan ruang runding-cara dengan para pengikut – komunikasi dalam konotasi positif.


3.3 Visi

 
Visi dalam Kamus Dewan membawa pengertian tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan dan sebagainya, wawasan: pemimpin yg mempunyai keperibadian yang utuh serta dalam kepimpinan.

 
Islam amat memandang berat percaturan masa hadapan malahan dalam al-Qur’an mencatatkan kisah nabi Yusuf merencana masa hadapan kerajaan Mesir ketika ditanya oleh Raja:

“Yusuf, wahai orang yang amat dipercayai, terangkanlah kepada kami (mimpi) tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus; dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan(tujuh) lainnya yang kering terangkanlah takwil mimpi itu) agar aku kembali kepada orang-orang (yang mengutus itu), semoga mereka akan mengetahuinya.”

Surah Yusuf (12: 46)


Berdepan dengan tugas itu, Nabi Yusuf ternyata tidak hanya mentakwilkan mimpi saja, bahkan baginda memberi petunjuk supaya membuat perancangan untuk mengatasi kesukaran dan bahaya kemarau yang diramalkan akan menimpa Mesir. Baginda mencadangkan beberapa langkah positif yang perlu diambil bagi menghadapi kesukaran itu.


Justeru tidak hairanlah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata seorang pemimpin mesti tahu apa yang dikehendaki oleh pengikutnya dan pada masa yang sama perlu mempunyai agenda sendiri. Visi pemimpin seharusnya menganggap peluang untuk memimpin sesebuah organisasi itu sebagai satu amanah untuk menerajui organisasi tersebut mencapai ke tahap yang paling cemerlang. Justeru itu pemimpin harus memiliki wawasan yang jauh, bersikap dinamik dan sentiasa berusaha memajukan organisasi. Kejujuran dan keikhlasan pemimpin dengan amanah tersebut adalah asas penting. Pemimpin yang jujur akan mengorbankan tenaganya untuk memperbaiki prestasi organisasi secara berterusan. Ia bukan sekadar menjaga status quo prestasi organisasi tetapi disebaliknya berusaha untuk berterusan membuat pembaharuan ke arah kebaikan.


Dalam erti kata lain usaha untuk meningkat mutu prestasi organisasi, pemimpin juga semestinya memiliki pandangan dan wawasan yang jauh. Pemimpin sepatutnya mampu mengariskan arah tuju organisasi tersebut semoga dapat berperanan secara sesuai dan berkesan dengan perubahan suasana yang makin mencabar. Kejayaan ini memerlukan kepada penguasaan kefahaman kepada keadaan semasa dan bersikap (futuristic) kehadapan kepada apa yang jangka berlaku pada aktiviti organisasi masa hadapan.

3.4 Tindakan atau keupayaan mengendali situasi


Abu Zar Al-Ghifari pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi seorang pemimpin kepada Rasulullah, lantas Rasulullah menepuk bahu Abu Zar sambil bersabda yang bermaksud: “Wahai Abu Zar, engkau adalah lemah, sedangkan pemimpin itu suatu amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, melainkan mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipan sudah ditentukan dalamnya.”


Rasulullah menganggap Abu Zar lemah bukanlah dari aspek ketaatan kepada agama atau kelemahan Abu Zar untuk melawan hawa nafsu, tetapi kelemahan ketara mengikut pengamatan Rasulullah ialah kemampuan Abu Zar untuk bertegas dalam sesuatu keputusan, sedangkan kemampuan membuat keputusan itu amat penting bagi seseorang pemimpin sama ada keputusan itu berpihak kepada kawan atau lawan.


Oleh kerana itu juga pemimpin perlu sentiasa memperbaiki mekanisme dan jentera pentadbiran dan pengurusannya agar tetap kukuh dan kompeten dalam menyediakan perkhidmatan yang gemilang kepada semua pihak. Sebagai role-model, segala kepayahan dan cabaran yang ada di hadapan tidak patut di abai atau dikesampingkan dan ketika inilah amat diperlukan ketajaman fikiran, kekentalan jiwa dan ketabahan hati yang tinggi dalam memenuhi kehendak stakeholder dan pelanggan.



No comments: