Wednesday, August 21, 2013




Antara Kami al-Maliziyyin dan Kamu ikhwanuna al-Misriyyin..

Ketika kami hanya berjuang di papan kekunci, hadapan skrin hanya melalui kata-kata; Kamu turun berjuang berhadapan peluru, bom dan gas pemedih mata

Ketika kami sibuk membincangkan kualiti padang; Kamu berhimpun menuntut keadilan dengan Al-Quran sebagai 'pedang'.

Ketika kami marah akan kecederaan Messi; Kamu tercari-cari apa terjadi kepada Dr Morsi

Ketika media dan peminat marah akan FC Barcelona; Rakyat dan media kamu bersabung nyawa demi menyebarkan kebenaran di sana

Ketika kami merobohkan surau kerana perbuatan khianat; Masjid kamu musnah dibakar askar yang laknat

Ketika isteri di sini dipukul hanya kerana suami yang bebal; Anak isteri kamu di sana mati ditembak, dizalimi, diseksa dan digilis kereta kebal

Ketika kami di sini berAidilfitri gah dan meriah; Kamu di sana berdiri megah dan syahid di Medan Raba'ah al Adawiyah

Ketika Muslimah kami mempersoalkan tokoh ilmuwan Islam beristeri dua; Muslimah kamu meyokong suami dan anak menuntut keadilan samada muda atau tua

Ketika mufti kami baru mengeluarkan fatwa HARAM sertai pertandingan ratu cantik; Ulama' kamu berfatwa mempertahankan dataran itu adalah wajib, lebih baik dari beri'tikaf di masjid tanpa pengaruh politik

Ketika pemimpin kami bertweeter akan rumah terbuka; Pemimpin kamu menyimpul kata, mengajak berjuang tanpa leka

Ketika lebuhraya kami menjadi medan maut yang amat pahit; Masjid, burung, udara dan segala-gala di Medan Raba'ah al Adawiyah menjadi saksi syahid

Ketika kami berjuang melalui facebook dan twitter dengan sambil lewa; Kamu berjuang berhabis keringat, wang, makanan, dan nyawa

Kamu menggunakan kesemua medium bagi menegakkan keamanan, menuntut keadilan pelbagai cara; Sedangkan kami ingin menekan 'share' akan nukilan ini pun masih berkira-kira

Namun, masih ada segelintir di kalangan kami yang sentiasa berdoa akan kemenangan kamu di sana; Walaupun amat sedikit, inilah sumbangan termampu kami bersama saudara seIslam yang tidak terlena :(

Bersabarlah wahai para pejuang Islam, kerana bagi yang syahid syurgalah ganjarannya; Manakala kami di sini masih tercari-cari akan jalannya.