الحمد لله مستحقِ الحمد بلا انقطاع، ومستوجبِ الشكر بأقصى ما يستطاع، الوهابُ المنان، الرحيم الرحمن، المدعو بكل لسان، المرجو للعفو والإحسان، الذي لا خير إلا منه، ولا فضل إلا من لدنه. وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، الجميل العوائد، الجزيل الفوائد، أكرم مسؤول، وأعظم مأمول، عالم الغيوب مفرّج الكروب، مجيب دعوة المضطر المكروب،
وأشهد أن سيدنا محمداً عبده ورسوله، وحبيبه وخليله، الوافي عهده، الصادق وعده، ذو الأخلاق الطاهرة، المؤيّد بالمعجزات الظاهرة، والبراهين الباهرة. صلى الله عليه، وعلى آله وأصحابه وتابعيه وأحزابه
{يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ} [آل عمران:102].
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Melalui medium khutbah yang diperuntukkan ini saya mengingatkan diri saya serta menyampaikan pesanan kepada sidang Jumaat seluruhnya agar kita sedaya upaya meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Azza wajalla dengan beristigfar dan melaksanakan perintah dan menjauhi laranganNya. Kerana hanya melalui bekalan taqwa sahaja kita mampu menyelamatkan diri daripada kesengsaraan ujian di dunia dan azab akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kejadian jenayah melibatkan kes pembunuhan, pembuangan bayi semakin agresif dan anak-anak yang tidak berdosa dibunuh sangat meruntun hati insan yang berjiwa prihatin. Apatah lagi mangsa merupakan seorang anak kecil yang suci bersih. Kejadian-kejadian semumpama ini bukan sahaja mencemaskan rakyat negara ini malahan sedikit sebanyak menjejaskan nama baik Malaysia yang terkenal dengan ketinggian budaya timur dan diistilahkan sebagai the Truly Asian oleh pihak yang mempromosikan negara kita.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 257,411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf bermula tahun 2000 hingga Julai 2008. Begitu pula dengan masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar-pelajar sekolah yang melanda masyarakat kali ini juga semakin meruncing. Rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Bukit Aman melaporkan bahawa pada tahun 2008 sebanyak 5,115 kes juvana yang melibatkan seramai 7,126 orang kanak-kanak dan remaja juga amat membimbangkan.
Apakah tidak timbul kegusaran tuan-tuan apabila didapati purata umur kes juvana ini melibatkan kanak-kanak seawal umur 7 tahun hingga berumur 18 tahun? Mereka ini masih lagi berada di bawah jagaan keluarga dan itulah yang sepatutnya. Masih belum terlambat untuk kita kembali utuhkan kawalan anak-anak serta bertindaklah dengan sebaik mungkin.
Persoalannya mengapakah manusia tidak gerun untuk melakukan jenayah meskipun hukuman terhadap perbuatan itu boleh dikatakan agak keras di Malaysia ini? Apakah penjenayah kini sudah sampai ke tahap brutal dan amat sukar dikawal lagi.
Sidang Jumaat Sekalian,
Oleh sebab Deenul Islam itu syumul maka Islam mempunyai jawapannya. Apabila memperkatakan soal jenayah ia meliputi dua perkara iaitu hati dan minda penjenayah, serta perbuatan jenayah itu sendiri. Undang-undang manusia mungkin dapat mengawal perbuatan jenayah tapi agak sukar untuk kita mengawal hati dan minda penjenayah kerana ini merupakan soal hati manusia yang agak abstrak. Ia melibatkan soal dalaman yang sukar diterokai oleh undang-undang manusia keseluruhannya.
Sebab itu cara penyelesaian manusia terbatas walau sepintar mana sekalipun kita, walau setinggi mana juga pangkat kita. Akuilah kelemahan ini dan manusia hanya mampu meminda undang-undang yang berkaitan dari masa ke semasa agar hukuman yang sedia ada ditambah atau diperkuatkan lagi bagi menggerunkan penjenayah. Firman Allah dalam surah al- ‘Adiyat: 6
“Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya”
Firman Allah dalam surah al-Nisa’: 28
“Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia itu dijadikan bersifat lemah.”
Sama ada kita suka atau tidak Islam telah turun 1400 yang lampau dengan pakej dan menawarkan sistem kawalan yang terbaik bagi menangani hal seperti ini. Sistem yang telah dibuktikan keberkesanannya untuk mengawal jenayah. Ini merupakan suatu reality dan bukan omongan kosong sahaja.
Perbuatan jenayah bertitik tolak dari keinginan dan niat. Dengan lain perkataan hati manusia yang mendorong manusia untuk melakukan jenayah. Hati manusia pula dikawal oleh akal dan hawa nafsu. Hal ini telah dijelaskan dalam sebuah hadith daripada `Umar r.a. yang berkaitan dengan persoalan niat yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabda baginda:
انما الأعمال بالنيات وانما لكل امرئ ما نوى
"Sesungguhnya setiap perbuatan disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya.”
Apabila hawa nafsu mengatasi akal maka manusia terdoronglah untuk melakukan jenayah. Hawa nafsu manusia boleh jadi mendorong kebaikan dan boleh jadi juga mendorong ke arah kejahatan maka atas maslahah inilah Islam yang syumul tadi menawarkan sistem tazkiyyah al-Qulub atau tazkiyyah an-nafs iaitu Pembersihan hati atau penyucian hati.
Para Rasul tercinta diutus antara lain untuk mendidik manusia bagaimanakah untuk membersihkan hati mereka. Hanya Pencipta kita sahaja yang tahu "nature" hati manusia dan sekaligus menyediakan prosiding dan kaedah yang berkesan untuk membersihkan hati manusia.
Sebab itulah juga kita dapati diawal penurunan ayat al-Quran kepada baginda Rasulullah menyentuh soal penyucian akidah, pembentukan akhlak diikuti dengan fekah, syariat dan perundangan datang kemudiannya.
Ayat-ayat awal adalah ayat yang diturunkan untuk membentuk dan membersihkan hati manusia dari segala sifat buruk dan keji. Apabila manusia telah bersih hatinya maka amat mudah untuk mereka menerima undang-undang yang dikenakan ke atas mereka.
Maka sejarah Islam telah menyaksikan bagaimana mereka yang melakukan jenayah seperti seorang sahabat bernama Maiz datang sendiri berjumpa Yang Arif Hakim (iaitu Rasulullah s.a.w sendiri) bagi membuat pengakuan bahawa beliau telah melakukan jenayah dan meminta Rasulullah s.a.w mengenakan hukuman ke atasnya. Tanpa ada polis yang menangkapnya atau orang lain yang menyuruhnya. Ia tidak pernah berlaku dalam mana -mana sistem perundangan manusia.
Apabila hati manusia telah suci dan bersih, manusia ketika itu bukan sahaja ketagih arak malahan ke peringkat memuja dan mengagungkan arak melalui syair-syair mereka dengan begitu mudah dan bersahaja menerima undang-undang Islam yang mengharamkan arak secara total akhirnya.
Maka mereka yang sedang meneguk arak dengan pantas mencampakkan gelas-gelas yang sedang dipegang. Mereka yang menyimpan arak di bejana dan tong-tong di stor penyimpanan atau di rumah lantas memecahkannya tanpa berfikir dua kali. Hingga diriwayatkan Kota Madinah dipenuhi dengan limpahan arak. Mereka dengan bangga memecahkan bekas-bekas arak tersebut sambil berteriak" Intahaina Ya Rabb, Intahaina Ya Rabb ! (Kami telah berhenti, kami telah berhenti wahai Tuhan!). Lihatlah bagaimana hebatnya Islam membendung jenayah . Begitu ekonomikal.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Di samping pakej itu ibu bapa juga hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab yang lebih tinggi dan usah jemu dengan amanah kepada Allah s.w.t ini. Anak-anak diciptakan bukan sahaja untuk berseronok dan dibanggakan tetapi apa yang utama ialah mendidik mereka menjadi manusia yang berjaya di dunia ini, dan cemerlang di hadapan Allah.
Firman Allah s.w.t dalam surah at-Tahrim ayat 6:
“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu.”
Lakukan pencegahan awal kes jenayah dan gejala moral lain di rumah kita sendiri dan penurunan kadar jenayah khususnya di Pulau Pinang ini juga terletak di bahu kita semua.
Oleh itu, mimbar turut mengingatkan bahawa kerjasama orang ramai dan rakyat amat penting dalam membantu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang memainkan peranan besar dalam mengawal pencegahan kes-kes jenayah di seluruh Malaysia. Semoga amanah yang terlunas oleh kita semua mampu membina sebuah daulah yang harmonis serta beroleh keampunan Allah.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal ayat 27:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
No comments:
Post a Comment