Friday, November 19, 2010

Khutbah Waled di Masjid USM

 
 
Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada saudara-saudara dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan memperbaiki mutu pengabadian kita kepada-Nya dengan melaksanakan sedaya upaya perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari Jumaat yang penuh barakah ini kita tidak melepaskan peluang mengaut sebanyak amalan soleh dengan tilawatil Qur’an, bersedekah, berselawat kepada Rasulullah, berdoa dan menghubungkan silaturrahim.

Muslimin Yang dirahmati Allah,

Sebagai seorang Muslim yang berakal seharusnya kita berupaya memandu kehidupan berdasarkan papan tanda arah dan petunjuk yang telah digariskan oleh Kitabullah dan Hadis Rasulullah. Untuk sampai ke destinasi akhirat secara short-cut dan mudah usah diimpikan. Satu-satunya jalan ialah dengan beramal dengan seberapa banyak amalan soleh secara ikhlas mengharapkan redha-Nya dan sentiasa berada dalam keampunan Allah semasa hidup di dunia. Firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 21:

Maksudnya: Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya;.

Terdapat banyak firman Allah dalam al-Qur’an yang mengambarkan perihal mereka yang melakukan dosa akan menjadi gementar, takut dan rasa terseksa bila dibentangkan buku catatan amalan mereka di Padang Masyar. Segala amalan di dunia ini tidak akan tertinggal untuk sesi pengadilan di akhirat kelak walaupun ia sekecil zarrah. Segala-galanya terbongkar seperti yang dicatat oleh malaikat yang di tugaskan oleh Allah SWT sebagaimana dalam surah al-Infitaar


Maksudnya: Dan sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang ditugaskan menjaga dan mengawasi kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Dalam mengejar kehidupan mewah dan status hari ini jangan sampai lupakan perintah solat 5 waktu sehari semalam, mengeluarkan zakat, menunaikan haji apabila mampu dan ibadah-ibadah lain. Kesibukan dengan pelbagai urusan duniawi kadang-kadang melalaikan kita daripada mengingati Allah apatah lagi kita semakin meminggirkan tanggungjawab selaku Muslim kepada sesama manusia, menunaikan hak golongan fakir miskin dan anak-anak yatim. Malah semakin dibimbangi kezaliman dan penindasan sesama manusia sesuka hati kian berleluasa. Tidakkah kita pernah mendengar peringatan Rasulullah terhadap mereka yang melakukan ibadah tapi dalam masa yang sama membawa watak kezaliman dalam diri. Golongan ini merupakan orang yang diisytiharkan bangkrap dan muflis di akhirat. Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka." (Riwayat Muslim)


Alangkah ruginya golongan ini, walaupun mempunyai timbunan pahala hasil mengerjakan ibadah dan kebaikan di dunia, tetapi menjadi kosong akibat di ambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan sebab kesalahannya tidak meninggalkan perbuatan mengumpat, menghina, menuduh, mengambil harta orang atau menyakiti sesama manusia. Dosa kepada Allah mungkin boleh ditebus dengan bertaubat, tetapi dosa kepada manusia tidak akan diampunkan Allah kecuali setelah meminta ampun kepada orang tersebut.

Dalam satu riwayat pernah diceritakan bagaimana dosa orang yang memfitnah sesama manusia ditimpa musibah.

“Saat bin Abi Waqash pernah diangkat sebagai Amir di kota Kufah. Dia telah menjalankan pemerintahan dengan bijak, adil dan baik. Walaupun demikian ada di kalangan manusia yang tidak suka kepadanya telah menabur fitnah dan mengadu kepada Amirul Mukminin Umar bin Khattab ra.

Untuk mengetahui dari perkara yang sebenarnya, Khalifah telah menghantar seorang penyiasat ke Kufah. Orang ini pergi dari satu masjid ke masjid lainnya untuk menanyakan hal Saad kepada rakyat Kufah. Semua orang yang ditanya, tidak ada yang mengatakan sesuatu tentang Saad kecuali baik.


Pada akhirnya utusan Khalifah sampai ke sebuah masjid yang di situ terdapat seorang lelaki yang dikenali sebagai Abu Saadah. Lelaki ini mengatakan bahawa Saad bin Abi Waqash tidak melakukan pembahagian secara adil, tidak ikut ke medan pertempuran dan tidak adil dalam memutuskan sesuatu perkara.
Apabila Saad mendengar tentang fitnah yang ditaburkan oleh lelaki itu, dia berdoa kepada Allah SWT. “Ya Allah, jika sekiranya orang itu berkata dengan bohong, maka panjangkanlah usianya, panjangkan kefakirannya dan timpakan beberapa fitnah kepadanya.”


Ibnu Umair yang menceritakan kisah ini berkata: “Aku melihat lelaki itu dalam keadaan yang sangat tua sehingga bulu alisnya sampai menutup matanya kerana ketuaan. Hidupnya pula dalam keadaan sangat fakir.”

Bila dikatakan kepadanya: “Bagaimanakah keadaanmu?”

Dia menjawab: “Aku telah menjadi orang yang terlalu tua dan menderita. Aku telah terkena doa Saad, oleh kerana itu, aku bertaubat kepada Allah, untuk tidak mengulangi lagi perbuatanku yang suka memfitnah itu.”

Muslimin Yang dirahmati Allah,

Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila muflis di akhirat ?. Siapakah yang akan bersimpati, siapakah yang akan menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?


Mengakhiri khutbah marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita sudah berada dalam gaya hidup yang diredhai Allah ataupun gaya hidup yang di murkai-Nya. Andainya kita telah berada dalam keredhaan Allah, maka kita pertingkatkan dan gandakan lagi agar ianya lebih mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT. Andainya kita menderhakai kepada Allah maka bersegeralah kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah, mudah mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi dengan kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 133:

Maksudnya: “ Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”



No comments: