ME'MASJID'KAN KAMPUS DAN MASYARAKAT.
الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتِ , وَأَشْهَدُ أَنْ لا إِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ
قال الله تعالى : إِذَا جَآءَ نَصْرُ اللهِ وَالفَتْحُ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُوْنَ فِى دِيْنِ اللهِ
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Setibanya baginda s.a.w di Kota Madinah, baginda telah mendirikan sebuah bangunan yang dinamakan masjid. Masjid ini dibina di perkampungan yang bernama Quba’.Masjid yang dibina oleh Rasulullah adalah sangat ringkas dan begitu simple. Masjid yang hanya mempunyai empat penjuru itu didirikan setinggi paras dada dan berukuran sekitar 60 x 60 hasta . Setiap dinding barat, timur dan selatan dibuatkan pintu. Manakala pintu di sebelah utara yang menghala ke Baitul Maqdis pula dijadikan Qiblat.
Bangunan ringkas yang telah dibina oleh pesuruh Allah itu tidak ada sesuatu yang menakjubkan. Masjid yang dibina oleh Muhammad s.a.w itulah yang telah berjaya memperluaskan jajahan Islam hingga ke seluruh dunia. Baginda berjaya mengembleng jiwa masyarakat Islam ketika itu menjadi sebuah masyarakat yang amat disenangi hatta oleh kaum bukan Islam. Di sinilah peranan yang telah baginda atur melalui kewujudan masjid untuk tujuan perkembangan Islam, syakhsiyah , ekonomi, pendidikan dan sebagainya Di atas ketaqwaan yang benar-benar telus kepada Allah yang merupakan resepi masjid Nabawi berjaya menjadi sumber aspirasi Islam dan inspirasi ummah hingga ke hari ini. Allah s.w.t telah merakamkan di dalam Al-Quran
“Sesungguhnya masjid yang dibina berasaskan taqwa dari permulaan hari pembinaannya, lebih baik engkau mendirikan solat di dalamnya. Dalam masjid itu ada golongan manusia yang suka menyucikan (diri dan jiwanya). Dan Allah mengasihi orang-orang yang suci” .
( Surah At-Taubah, ayat 108)
Sidang Jumaat sekelian,
Selepas Khalifah Uthmaniah menguasai kota Constantinople (Istanbul), Sultan Ahmad I telah mendirikan sebuah masjid di atas tapak Istana Byzantium. Ia sebagai simbol penguasaan Islam ke atas sempadan benua Eropah yang sebelumnya dikuasai oleh Kerajaan Rom. Kemasyhuran Masjid Biru di kota Istanbul, Turki terus kekal hingga ke hari ini, menandingi kemegahan Aya Sophia yang begitu masyur sebelumnya. Namun hari ini masjid itu sepi tanpa jemaah yang ingin mengimarahkannya. Begitu juga situasi yang sama melanda masjid di Sepanyol di Cordova yang lebih malang lagi ia telah di jadikan muzium kerana umat Islam leka dan mengejar keseronokan hingga tiada masa untuk memperjuangkan nasib rumah Allah swt. itu.
Ajaran Islam sendiri tidak mengajar umatnya supaya binaan didirikan untuk tujuan kemegahan semata-mata. Bersesuaian dengan itu Allah s.w.t:
“ Tiadakah engkau ketahui bagaimana Tuhanmu memperbuat terhadap (kaum) Ad? ( Iaitu kaum) Iram yang mempunyai bangunan yang tinggi-tinggi). Yang belum pernah diciptakan seperti itu di seluruh negeri, dan (kaum) Tsamud yang telah memahat batu-batu di sebuah lembah( untuk dijadikan rumah), dan Firaun yang mempunyai bangunan-bangunan yang besar lai kukuh .Mereka itu semua telah bermaharajalela dalam negeri dan mereka telah membuat banyak kebinasaan, kemudian Tuhanmu menurunkan pelbagai azab seksaan kepada mereka ”. (Surah Al-Fajr, ayat : 6 - 13)
Kita semua harus mengambil iktibar daripada peristiwa yang telah diceritakan di dalam Al-Quran berkenaan kaum-kaum yang terdahulu suka bermegah-megah dengan binaan yang mewah. Padahal masjid yang dibina secantik-cantiknya tidak diimarahkan sepenuhnya.
Sidang Jumaat sekelian,
Masjid juga sering diperkatakan sebagai Rumah Ibadat atau ‘a house of worship’. Fahaman perkataan `ibadat' dan ‘worship’ yang biasa difahami adalah sebagai suatu set ritual tertentu seperti sembahyang, menunaikan haji yang dibuat khusus bagi menyembah Tuhan.
Masjid bukan sekadar pusat ibadah khusus seperti solat dan i'tikaf tetapi peranan masjid adalah lebih luas. Masjid yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat penyatuan, institusi ilmu, pusat sehenti dan markaz dakwah Islamiah serta pusat aktiviti umat Islam dan komuniti setempat.
Daripada ayat-ayat al-Qur'an tersebut di atas menggambarkan tanggungjawab seorang Muslim adalah amat luas dan makna ibadat di dalam Islam jauh berbeza dengan pandangan yang sempit sebagai kegiatan ritualistik semata-mata.
Masjid telah berperanan proaktif dalam pembangunan masyarakat setempat. Maka itu perancangan ruang dan bahasa seni bina masjid telah dibuat sebagai pusat komuniti yang aktif dan bukan bagaikan kuil atau biara yang sunyi sepi tempat orang beruzlah semata-mata.
Konsep `rumah suci' atau ikon suci wujud pada hampir semua agama. Konsep ini berlandaskan bahawa setiap penganut akan berasa lebih dekat dengan Tuhan jika sesuatu objek atau bangunan yang dibina untuk kegunaan Tuhan atau sebagai `wakil Tuhan' wujud di kalangan mereka.
Umat Islam mempunyai tiga objek dan bangunan yang dianggap suci. Pertamanya, Ka'abah di Makkah, kedua tapak Masjid-al-Aqsa di Palestin dan ketiga Masjid Nabi Muhammad (s.a.w) di Madinah
Islam telah menggariskan konsep dan sifat-sifat bagi mereka yang dapat mengimarahkan masjid berdasarkan firman Allah dalam surah At- Taubah ayat 18
Berdasarkan dari ayat itu juga menjelaskan, memakmurkan masjid merupakan perkara penting di dalam masyarakat bagi melahirkan kelompok manusia yang bertakwa dan melambang cirri-ciri seorang mukmin yang mensyukuri akan tuhannya.
Sidang jumaat yang dihormati sekalian,
Walaupun kita mengetahui fadhilat sembahyang berjemaah lebih afdal dilakukan di masjid. Tetapi janganlah membiarkan rumah-rumah kita sepi daripada amalan penghuninya mengerjakan sembahyang kerana sembahyang sunat individu lebih afdal dilakukan di rumah seperti yang disebutkan Rasulullah dalam hadis
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: لا تجعلوا بيوتكم مقابر، إنّ الشيطان ينفر من البيتِ الذي تقرأ فيهِ سورة البقرة
رواه مسلم وأحمد.:
Lakukan juga sembahyang-sembahyang kamu di rumah dan jangan dijadikan rumah kamu seperti kuburan. Sesungguuhnya syaitan menjauhi rumah yang dibacakan dalamnya surah al-Baqarah. (Sahih Muslim dan Ahmad)
Umat Islam digalakkan `memasjidkan' kediaman mereka dengan bersembahyang sunat agar ia tidak dianggap `mati' dengan roh Islam. Rumah juga adalah tempat yang terasing daripada pandangan ramai. Dengan itu kita boleh mengerjakan sebanyak mungkin sembahyang sunat yang kita inginkan dan sepanjang mana yang kita kehendaki.
Sidang jumaat yang dikasihi,
Walau apa tujuan kita ke masjid sama ada untuk solat sahaja, bertiktikaf, menelaah, berbincang, mendengar ceramah atau membaca al Quran, kita telah mendapat ganjaran yang besar daripada Allah swt. lantaran jiwa dan kehendak yang tinggi untuk memakmurkan rumah Allah swt. ini. Firman Allah swt. di dalam surah at Taubah ayat 18 .
"Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, dan menunaikan zakat dan tidak takut pada siapa pun selain pada Allah maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang yang mendapat petunjuk." (At-Taubah: 18)
Sidang jumaat yang dihormati sekalian,
Sekiranya kita benar-benar faham konsep masjid atau rumah Allah ini maka mudah untuk kita warga kampus khususnya memasjidkan Universiti dengan erti kata lain membawa keluar amalan-amalan murni yang biasanya dipraktikkan dalam masjid ke tengah kampus, di bilik-bilik kuliah, di pejabat, dalam urusan mesyuarat, di café atau kantin, jalan raya hingga berjaya mengembalikan peranan kita sebagai ikon ‘Khalifah al-Ard’ secara penuh bersahaja. Pastinya masyarakat Islam dan non-Muslim dapat melihat dan mengecapi suasana kehidupan yang harmoni. Manakala perpaduan masyarakat merentasi sempadan fahaman mazhab atau politik dapat merancakkan pembangunan Negara seperti yang digambarkan oleh Allah sebagai ‘Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur’.
Hadirin Jumaat sekalian,
Masih basah di memori kita, apabila masyarakat dunia terkesima dengan bencana ombak besar tsunami, masjid-masjid dilihat tetap berdiri teguh seteguh Islam itu, telah merubah hati dan menjentik sanubari insan-insan yang dulunya longlai untuk ke rumah Allah swt. akhirnya mengakui akan kebesaran Allah swt. melalui tanda-tanda yang ditunjukkan di hadapan mata.
No comments:
Post a Comment