Wednesday, August 10, 2011

Penghayatan Nurul al-Qur’an Pada Bulan Ramadan




(Kertas kerja yang dibentangkan oleh Waled di Seminar Kebangsaan Penghayatan Ramadhan 2008. Harap dapat dimanfaatkan !)
Al-Qur’an dan Ramadan tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya merupakan kurniaan yang sangat besar buat Nabi Muhammad apatah lagi umatnya. Al-Qur’an ditakrifkan sebagai kalam Allah yang mengandungi mukjizat diturunkan kepada Rasulullah untuk menjadi perlembagaan dalam dakwahnya mengajak manusia kepada Islam. Al-Qur’an juga menjadi penyaksian kepada kebenaran seruannya serta diturunkan dalam bahasa Arab, diturunkan kepada Rasulullah secara mutawatir (berturut-turut).


Nuzul al-Qur’an

“ …jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada Hari al-Furqan, iaitu ketika bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Surah al-Anfal (8:4)

Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan tarikh turunnya al-Qur’an kepada Rasulullah buat pertama kali bertepatan dengan “hari al-Furqan ” iaitu merujuk kepada peristiwa peperangan badar yang berlaku pada 17 atau 19 Ramadan tahun 2 hijrah bersamaan 6 Ogos tahun 610 Masihi dan peristiwa turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah pada 17 Ramadan tahun ke 41 selepas kelahiran Baginda.

Dalam riwayat yang lain ada menyatakan tarikh penurunan al-Qur’an ialah pada 24 Ramadan berdasarkan hadis daripada Ibnu ‘Abbas.


Pada hakikatnya ulama berselisih pendapat dalam menetapkan cara penurunan al-Qur’an itu dari Lauh al-Mahfuz pada malam Laylah al-Qadr ke langit dunia seterusnya kepada Rasulullah. Pendapat yang paling masyhur menyatakan bahawa al-Qur’an itu diturunkan ke langit dunia pada malam Laylah al-Qadr dengan kandungan yang lengkap kemudiannya diturunkan selepas itu secara mutawatir atau berperingkat-peringkat dalam tempoh masa antara 20-25 tahun berdasarkan perbezaan pendapat tentang penetapan tempoh menetapnya Rasulullah di Makkah selepas kerasulannya.


Dalam surah al-Isra’ ada diceritakan bagaimana penurunan ayat-ayat al-Qur’an mengikut peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa-masa yang berlainan atau kejadian-kejadian tertentu yang memerlukan kepada penjelasan wahyu. Maksud firman Allah:

“Dan al-Qur’an itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.”

Surah al-Isra’ (17:106)


Dalam surah al-Furqan juga ada menjelaskan tentang masa penurunan al-Qur’an begitu juga dengan surah al-Qadr. Maksud firman Allah:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur’an itu pada malam yang Mubarakah (berkat); (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”

Surah al-Furqan (44:3)


“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Qur’an) ini pada Malam Lailah al-Qadr.”

Surah al-Qadr (97:1)

Dalam kitab tafsir al-Fakhr al-Razi meriwayatkan bahawa penurunan wahyu kepada Rasulullah adalah secara berperingkat mengikut keperluan. Persoalan tentang mengapa Allah tidak menurunkan serentak kepada baginda perlu dielakkan bagi mengelakkam timbul keraguan kepada akidah sebagaimana yang telah dipersoalkan oleh kaum kuffar. Maksud firman Allah:


Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan al-Qur’an itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?” al-Qur’an diturunkan secara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.”

Surah al-Furqan (25:32)


Dalam kitab Sahih al-Bukhari karangan al-Imam ‘Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhari al-Ja’fi dalam bab yang menyatakan Kayfa Nazala al-Wahyi, hadith 479 mengatakan:


“Diceritakan kepada kami oleh Ubaydillah bin Musa dari Syaiban dari Yahya dari Abi Salamah telah berkata: Dikhabarkan kepadaku oleh ‘Aisyah dan Ibnu ‘Abbas dan mereka berdua berkata: Sesungguhnya Nabi Muhammad telah menetap di Makkah selama sepuluh tahun dan telah turun padanya al-Qur’an dan begitu juga di Madinah selama sepuluh tahun.”


Bila disebut bahawa al-Qur’an adalah mukjizat terbesar Nabi maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Qur’an.


Hubungan Lailah al-Qadr dan Nuzul al-Qur’an

Lailah al-Qadr pula ialah suatu malam dalam bulan Ramadan yang sangat besar fadhilatnya. Malam al-Qadr ini biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadan dan amalan pada malam itu lebih baik dari 100 bulan. Lailah al-Qadr juga mempunyai hubungan yang rapat antara peristiwa nuzul al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke langit dunia sebagaimana yang telah diterangkan dalam kitab Allah dalam surah al-Qadr tersebut.


Peristiwa yang berlaku 1400 tahun dahulu memberi gambaran kepada umat Islam hari ini bahawa al-Qur’an merupakan mukjizat terbesar kepada Rasulullah buat tinggalan umatnya. Adalah menjadi sebahagian tanggungjawab Muslim untuk mengetahui fungsi al-Qur’an agar lebih memahami tugas sebagai umat Muhammad apatah lagi hamba Allah.


Antara fungsi al-Qur’an yang utama ialah ia merupakan suatu mukjizat kepada Rasulullah. Cercaan dan penghinaan diterima oleh Rasulullah setelah turunnya wahyu apatah lagi ia diwahyukan pada zaman kesusasteraan Arab sangat gemilang ketika itu. Namun mereka tidak mampu menyahut cabaran Allah dan Rasul-Nya untuk mendatangkan ayat-ayat seperti al-Qur’an. Seterusnya fungsi utama al-Qur’an ialah sebagai sumber rujukan hukum dan peraturan serta mendidik umat manusia mengendalikan kehidupan secara Islam. Bertitik tolak dari zaman permulaan Islam kegemilangan ilmu pendidikan mula menguasai umat Islam seawal turunnya wahyu yang pertama iaitu surah al-’Alaq ayat 1 hingga 5 menandakan kewajipan umatnya menuntut ilmu tanpa mengira kaum, jantina dan keturunan. Membaca melibatkan proses mental, pengenalan, ingatan, pengucapan, pemikiran kritis dan psikologi. Apatah lagi seseorang yang menguasai ilmu itu akan memperolehi banyak kelebihan bahkan berganda seperti yang dijelaskan dalam al-Qur’an.


Fadhilat al-Qur’an

Dalam Kitab Riad al-Solehin memuatkan 11 hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim tentang ganjaran orang-orang yang membaca al-Qur’an. Antaranya hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud yang bermaksud:

“Barangsiapa membaca satu huruf Kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf, tetapi Alif, satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.”

Riwayat al-Tarmizi dan katanya Hadis Hasan Sahih


Bahkan fadhilat orang yang mahir dengan ilmu al-Qur’an pula dinyatakan secara ilmiah menurut hadis-hadis Rasulullah antaranya ialah:


Orang yang membaca al-Qur’an dan mahir dengan ilmu-ilmu al-Qur’an akan bersama-sama dengan para Salafusoleh dan orang yang membaca al-Qur’an tetapi dia tersekat-sekat bacaannya dan kesukaran baginya untuk membaca maka baginya dua ganjaran.”

Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim


Dalam hadith daripada Ibnu ‘Abbas juga ada menyatakan kerugian besar bagi sesiapa yang tidak membaca, menghafaz atau menghayati kandungan al-Qur’an seumpama rumah yang telah runtuh. Seolah-olah ingin menggambarkan segala keindahan dan kemewahan yang ada tidak berguna lagi. Maksud hadith:


“Sesungguhnya orang yang tidak terdapat dalam rongga badannya sesuatu dari Al-Qur’an adalah seperti rumah yang roboh.”

Riwayat Tirmidzi dan katanya: Hadith Hasan Sahih



Peradaban al-Qur’an

Adab al-Qur’an pula dikupas oleh Yusuf al-Qaradawi dengan menjelaskan lebih spesifik iaitu interaksi dan sikap seseorang Muslim terhadap ajaran yang terkandung di dalamnya. Setiap individu Muslim hendaklah memberi perhatian dan kepatuhan yang mutlak kepada Allah, berjuang dan meluangkan masa untuk mengkaji, merenungi serta memahaminya dengan baik. Penghayatan isi kandungnya tidak boleh diabaikan dan perlu melalui beberapa proses yang berterusan seperti kupasan-kupasan ayat melalui penafsiran. Pengkajian ayat-ayat al-Qur’an pula dilakukan dengan cermat dan teliti untuk mengelakkan dari berlakunya kesilapan yang boleh melemahkan fungsi al-Qur’an sebagai mu’jizat al-Kubra. Abi Hamid Muhammad ibnu Muhammad al-Ghazali (m.505H) pula mengingatkan terhadap mereka yang melakukan pengkajian alam dan kejadian makhluk di alam ini dengan menyatakan:


“…beberapa kewujudan penciptaan di alam ini ada pelbagai, ada antaranya yang tidak diketahui langsung asal kewujudannya maka tidak mungkin bagi kita untuk berfikir dan kita juga banyak yang tidak tahu apakah ia seperti maksud firman Allah: “Dan Dia menciptakan apa yang tidak kamu ketahui,” Dan ada yang kita ketahui kewujudannya tetapi tidak dapat mengetahui secara lengkap maka boleh bagi kita untuk melakukan penelitian secara lebih teliti sama ada dengan pancaindera atau seumpamanya.”


Dalam menjelaskan fungsi al-Qur’an pula, Abi Ja’far Muhammad bin Jarir al-Tabari (m.310H) menjelaskan ia hanya akan menjadi petunjuk sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an kepada golongan muttaqin dan mu’minin sahaja dan secara muktamadnya tidak termasuk dalam maksud ini ialah golongan yang bukan Muslim. Penjelasannya terkandung dalam surah al-Baqarah ayat 2:


“Itulah Kitab yang tidak ada keraguan padanya dan menjadi petunjuk kepada golongan yang bertaqwa.”

Surah al-Baqarah (2:2)


Pada dasarnya dalam al-Qur’an terkandung pelbagai displin ilmu yang menjadi panduan manusia ke arah jalan kemuliaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Penerapan pendidikan al-Qur’an seharusnya diterapkan bermula dari kanak-kanak agar dapat dibentuk generasi yang mahir tentang al-Qur’an, berilmu pengetahuan yang tinggi, beriman dan beramal soleh serta berakhlak mulia. Bahkan semangat cintakan al-Qur’an hendaklah sentiasa dipupuk dan dipelihara disamping mengukuhkan rasa cinta kepada al-Qur’an serta mampu menerapkan nilai-nilai yang luhur dalam diri.


Kaedah pendidikan al-Qur’an dapat membantu proses penghayatan al-Qur’an. Melalui beberapa kaedah yang tertentu proses pendidikan Islam yang bersumberkan wahyu mampu melahirkan insan soleh yang mampu memikul tanggungjawab khalifah yang ditaklifkan kepada manusia. Umumnya pendidikan berasaskan al-Qur’an merupakan sumber utama kepada falsafah pendidikan Islam yang disusuli pula dengan al-Sunnah sebagai pelengkap. Antara kaedah pendidikan berasaskan al-Qur’an itu ialah:


1. Kaedah nasihat. (al-Mau’izah).

Terdapat beberapa sebab mengapa manusia perlu kepada kaedah nasihat. Antaranya ialah disebabkan sifat manusia yang leka, alpa, pelupa dan asyik dengan keseronokan dunia. Maksud firman Allah:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia sentiasa berada dalam kerugian melainkan orang-orang yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.”

Surah al-‘Asr (103:1-3)

Dalam al-Qur’an kaedah ini dinyatakan oleh Allah dalam kisah Luqman al-Hakim yang menasihati anaknya melalui kaedah ini dalam surah Luqman ayat 13-19.


2. Kaedah peringatan. (al-Zikr).


Dalam pendidikan melalui peringatan perlu buat manusia sering lupa kepada kehidupan duniawi. Al-Qur’an menyediakan kaedah ini dalam himpunan ayat-ayatnya supaya manusia kembali menyedari tentang hakikat penciptaannya. Maksud firman Allah:


”Maka berilah peringatan kepada manusia, sesungguhnya kamu hanyalah pemberi ingatan.”

Surah al-Ghasyiah (88:21)


Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman.”

Surah al-Zariyat (51:55)


3. Kaedah penceritaan.


Kaedah ini merupakan antara kaedah yang banyak dinukilkan dalam al-Qur’an serta menjadi metod yang mudah kepada pembaca dan pendengar al-Qur’an untuk diambil pengajaran. Sesungguhnya terdapat pengajaran dalam kisah-kisah yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Qur’an. Maksud firman Allah:

”Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka (nabi-nabi) terdapat pengajaran dan iktibar bagi orang-orang yang berakal (berfikir).”

Surah Yusuf (12:111)


Terdapat banyak kisah yang mempunyai pengajaran dalam al-Qur’an seperti kisah Ashab al-Khafi, kisah nabi-nabi, kaum yang ingkar dan pemimpin yang kufur kepada Allah dan RasulNya. Kesemua ini dapat dijadikan pedoman oleh umat manusia jika benar-benar mereka memahami apa yang terkandung dalam ayat-ayat yang dibaca.


4. Kaedah soal jawab.

Pada umumnya kaedah ini memerlukan manusia berfikir akan jawapannya kerana kesemua soalan yang diutarakan oleh Allah dalam ayat-ayat tersebut terdapat jawapannya di hadapan mata manusia. Ada kalanya soalan disertakan dengan jawapan dan sering kali pula ayat yang meminta rasulnya bertanya untuk menimbulkan kesedaran dalam diri. Antaranya maksud firman Allah:


”(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.”

Surah al-Ghasyiah (85: 17-21)


5. Kaedah perbandingan

Dalam al-Qur’an ada membicarakan bentuk-bentuk perbandingan yang mampu manusia berfikir tentangnya. Sebagai contoh dalam surah Ibrahim Allah membuat perbandingan antara perkataan yang baik dan perkataan yang tidak elok. Maksud firman Allah:


“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan , iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya meraka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.”

Surah Ibrahim (14:24-26)

Dalam ayat ini juga Allah menarik perhatian hambanya dengan memulakan ayat melalui kalimah الم تر yang bermaksud “tidakkah kamu perhatikan” dan dalam ayat ini mengandungi kedua-dua gambaran antara yang baik dan buruk untuk dibuat perbandingan oleh manusia. Sudah tentu manusia yang berpegang teguh dengan ajaran al-Qur’an mendapat faedah yang banyak dari kaedah perbandingan seperti ini.


6. Kaedah ancaman dan janji

Faedah ancaman dan janji tidak terlepas dalam metod pendidikan al-Qur’an supaya manusia bertambah gerun dengan neraka Allah dan bertambah rasa takut kepada Allah. Begitu juga janji balasan baik kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amalan soleh mereka bakal memperoleh syurga Allah. Supaya bertambah rasa cinta kepada Allah dan meningkatkan rasa syukur kepadanya. Maksud firman Allah:


Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.”

Surah al-Nisa (4:124)



”Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk.”

Surah al-Furqan (25:66)



”Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan.”

Surah al-Furqan (25:69)


Ayat-ayat seperti ini dapat mendidik hati manusia supaya melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Maka sudah tentu para pembaca yang faham maksud ayat-ayat al-Qur’an dapat bertindak ke arah yang lebih baik.


Penghayatan al-Qur’an pada bulan Ramadan.

Menghayati al-Qur’an dan kandungan khususnya bulan Ramadan amat dituntut. Apatah lagi setiap ganjaran dikurniakan pahala yang berganda-ganda. Namun ada beberapa perkara yang harus diberi penekanan kepada pembaca al-Qur’an khusus pada bulan Ramadan supaya ibadat ini tidak dijadikan propaganda oleh musuh-musuh Islam yang ingin meleraikan ikatan ukhuwwah dan kekuatan umat Islam hari ini.


Antara amalan murni yang harus disebarkan kepada generasi hari ini ialah amalan bertadarus. Ibadat ini boleh dilakukan bersama keluarga atau juga bersama-sama rakan. Kesempatan ini wajar dipupuk bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja. Namun sesuatu amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan tidak dinafikan akan diberi ganjaran berlipat kali ganda. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ’Abbas, Rasulullah bertemu dengan Jibril pada bulan Ramadhan setiap malam untuk membacakan kepadanya al-Qur’an. Melaui hadis ini menunjukkan mudarasah antara Nabi dan Jibril terjadi pada malam hari. Boleh diistinbatkan daripada nas ini juga tentang anjuran memperbanyakkan membaca al-Qur’an sepanjang Ramadan pada malam hari, kerana ia merupakan waktu yang paling sesuai untuk tumpuan ibadah khusus, terhindarnya dari kesibukan, lebih mendatangkan kekuatan dan lebih memberi kesan kepada hati untuk renungan dan penghayatan. Hal ini jelas dinyatakan dalam firman Allah:


Sesungguhnya bangun pada waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyu’), dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.”

Surah al-Muzammil (73:6)


”Dirikan olehmu sembayang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembayang subuh sesungguhnya sembayang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya). Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah tahajjud padanya, sebagai tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

Surah al-Isra’ (17:78-79)



Jelas melalui ayat ini juga adanya tuntutan untuk mempelajari al-Qur’an pada bulan Ramadan dan berkumpul untuk melakukannya itu malahan dianjurkan memperbanyak bacaan al-Qur’an pada malam-malam bulan Ramadan.

Antara amalan lain yang dilakukan oleh beberapa kelompok berkumpul di masjid-masjid untuk melakukan aktiviti tadarus al-Qur’an, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

”Tidaklah berkumpul suatu kaum di salah satu rumah Allah seraya membaca kitab Allah dan mempelajarinya antara mereka, kecuali turunlah ketenangan atas mereka, serta mereka diliputi rahmat, dikerumuni para malaikat dan disebut-sebut oleh Allah kepada para malaikat di hadapan-Nya.”

Riwayat Muslim.


Melakukan aktiviti tadarus secara kelompok lebih baik sebagai satu kaedah pengajian al-Qur’an secara tidak formal. Melalui cara ini ahli tadarus akan menegur kesilapan bacaan antara satu sama lain kerana menjadi fardhu ain kepada pembaca al-Qur’an untuk membacanya dengan betul dan bertajwid. Bacaan al-Qur’an hendaklah dilakukan dengan teliti secara tartil sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud:

”Dan bacalah al-Qur’an itu dengan secara tartil.”

Surah al-Muzammil (73:4)

Al-Qur’an juga bukan sebarang kitab atau buku malahan terdapat adab-adab yang perlu dipelihara sewaktu membaca al-Qur’an. Dalam kitab al-Tibyan fi Adab Hamlah al-Qur’an karangan al-Nawawi menyatakan secara lengkap beberapa adab yang perlu dilakukan oleh pembaca al-Qur’an. Masyarakat tidak seharusnya memperkecil-kecilkan usaha sebahagian individu yang berusaha untuk mendalami ilmu pembacaan al-Qur’an kerana terdapat terlalu banyak fadhilat bagi pembaca al-Qur’an. Bahkan adalah lebih afdhal untuk melihat mushaf berbanding membaca secara hafalan kerana memandang kepada al-Qur’an sahaja sudah dikira ibadah apatah lagi membacanya.


Walaupun al-Qur’an diturunkan oleh Allah bukan sekadar untuk dibaca atau dilagukan semata-mata, tetapi masyarakat tidak harus memandang serong golongan yang berusaha untuk mendalami dalam bidang-bidang yang berkaitan dengannya termasuk mempelajari cara membaca dari asas al-Qur’an, memantapkan ilmu tajwid, mendalami ilmu tarannum, mempelajari Qiraat, Tarikh Qurra’ dan sebagainya. Hal ini bagi membendung segelintir masyarakat lain yang sentiasa mengambil kesempatan untuk terus meminggirkan al-Qur’an akibat adanya beberapa individu lebih-lebih lagi ilmuwan atau tokoh tertentu memperlecehkan golongan tadi. Maksud firman Allah:


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka...”

Surah al-Hujurat (49:11)


Justeru, seharusnya sikap kita sebagai mukmin yang sentiasa mempunyai motivasi diri untuk melakukan terbaik dalam amalan ibadat khususnya perlu melakukan satu peningkatan dalam pembacaan atau majlis tadarus al-Qur’an. Agar al-Qur’an itu benar-benar boleh berperanan sebagai cahaya menerangi kehidupan dan pembeza antara hak dan batil.

Suatu kekurangan jika sesorang yang mampu mengkhatamkan al-Qur’an sepanjang Ramadan tetapi tidak mengetahui sedikit sebanyak kandungan secara umum ayat yang baca. Begitu juga sedikit kecacatan jika al-Qur’an dilagukan tanpa dihayati pengertian ayat tersebut. Walaupun begitu masyarakat harus dicelikkan dengan kemahiran menggunakan Qur’an tafsir atau terjemahan. Oleh sebab majority masyarakat tidak memahami bahasa Arab maka individu perlu memperuntukkan waktu untuk menghayati maksud ayat-ayat yang dibaca.

Sesudah meneliti ayat-ayat yang dibaca seseorang qari akan melalui majlis khatam al-Qur’an seperti mana lazim yang dilakukan oleh masyarakat hari ini. Dalam kitab Tarikh Baghdad dinukilkan beberapa contoh para salafussoleh melakukan khatam al-Qur’an antara waktu maghrib dan isyak. Manakala dalam kitab al-Tibyan karangan al- Nawawi memberikan beberapa adab ketika mengadakan majlis khatam al-Qur’an antaranya ialah berpuasa pada hari khatam dilakukan. Beberapa orang tabi’in dari Kufah seperti Talhah bin Musyarrif, Habib bin Abu Thabit, Musayyab bin Rafiq kesemuanya lazim berpuasa pada hari mereka mengkhatamkan bacaan al-Qur’an. Begitu juga galakan meramaikan majlis khatam al-Qur’an dan membaca doa sesudahnya.


Secara kesimpulannya pengamalan bersibuk-sibuk dengan al-Qur’an khususnya pada bulan Ramadan dapat mendekatkan diri kepada Allah serta menjernihkan hati. Dari situ maka mudahlah terpancarnya cahaya ketaqwaan hasil tarbiyyah yang dilalui pada bulan Ramadan. Daripada Abu Sa’id al-Khudri daripada Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang disibukkan oleh bacaan al-Qur’an dan berzikir kepadaKu sehingga tiada masa baginya untuk meminta sesuatu kepadaKu, maka Aku akan memberinya seutama-utama yang pernah Aku berikan kepada orang-orang yang meminta kepadaKu, dan seutama-utama kalam Allah yang Maha Suci Maha Tinggi, yakni al-Qur’an ke atas sekalian kalam adalah umpama keutamaan Tuhan yang Maha Agung ke atas sekalian makhlukNya.”

No comments: