Thursday, May 6, 2010
Berikut ialah satu tulisan oleh al-Fadhil Ustaz Mujahid Abdul Wahab, anak murid kepada tuan guru al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, yang menyanggah tulisan Ustaz Ravi di dalam Utusan Malaysia. Mempertahankan maruah Rasulullah itu kewajipan bagi kita selaku umat baginda!e-mail ini waled terima pada 6 Mei 2010. Waled tidak mengupas apa-apa dalam artikel yang diterima. Sekadar buat tatapan para pembaca yang cerdik lagi arif belaka untuk membuat kesimpulan. :)
PENGENALAN DAN PEMBUKAAN
PERTAMA
Allah berfirman dalam surah al Syu’ara’ ayat 218- 219:
الَّذِي يَرَاكَ حِيْنَ تَقُوْمُ وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِيْنَ
“Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud.”
Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad di dalam Tobaqat al Kubra, dikeluarkan juga oleh al Bazzar, al Tabrani dan Abu Nu’aim di dalam Dalail al Nubuwwah, daripada Ibnu Abbas RA berkata:
“Dan dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Rasulullah SAW sebagai seorang Nabi.”
Ibnu Abbas RA mentafsirkan firman Allah ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang Nabi ke sulbi Nabi seterusnya ke dalam sulbi dari kalangan para sajidiin (yang sujud dan beriman kepada Allah).
Maka dapatlah diketahui bahawa Rasulullah SAW dilahirkan daripada benih insan-insan yang beriman dan mendirikan solat dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim AS.
Dalil ini juga telah dipakai oleh Imam Baijuri di dalam Hasyiah, pada menyatakan keimanan ayahanda dan bonda serta seluruh nenek-moyang Rasulullah SAW.
KEDUA
Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَا وُلِدَنِي مِنْ سِفَاحِ الْجَاهِلِيَّةِ شَيْءٌ مَا وُلِدَنِي إِلاَّ نِكَاحٌ كَنِكَاحِ الإِسْلاَمِ
"Tidaklah aku dilahirkan dari perzinaan kaum Jahiliyyah walau sedikitpun, dan tiadalah aku dilahirkan melainkan dengan nikah seumpama nikah Islam.”
MUNAQOSYAH
Berkata Ustaz Ravi:
“Namun, tiada riwayat yang sahih atau yang diterima (maqbul) daripada buku-buku hadis utama ini yang menyatakan bahawa ibu bapa Nabi SAW itu Muslim sama ada atas agama nabi Ibrahim a.s. atau agama nabi Isa a.s.”
Berkata hamba yang dho’if:
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ustaz Ravi menunjukkan beliau memerlukan kefahaman yang lebih luas mengenai al Sina’ah al Hadisiyyah. Di dalam ilmu hadith, yang menjadi ukuran bagi menghukum sesuatu hadith ialah sanadnya, bukan kerana ia dikeluarkan oleh Ashab al Sunan al Sittah, al Muwatto’ dan kitab-kitab yang masyhur. Sesuatu hadith itu diterima apabila cukup syarat-syaratnya walaupun ia diriwayatkan di dalam sebuah kitab hadith yang tidak masyhur.
~~~~~~~~~~~~ ~~~~~~~~~ ~~~~~~~~~ ~~~~~~~~~ ~~~~~~~~~ ~~~~~
Berkata Ustaz Ravi:
“Hadis-hadis tentang isu ini menjurus kepada kesimpulan ibu bapa nabi SAW mati dalam kufur kerana nabi sendiri mengesahkan di dalam hadis-hadis tersebut dengan mengatakan mereka berada di neraka.”
Berkata hamba yang dho’if:
Pada hemat saya hamba yang dho’if, Ustaz Ravi seolah-olah tidak memahami apakah pengertian Qot’iyyah al Thubut dan Qot’iyyah al Dilalah di dalam ilmu Usul Fiqh. Benar, hadith tersebut diriwayatkan dalam sohih Muslim dengan sanad yang sohih, akan tetapi adakah ia benar-benar menunjukkan (Wajhu al Dilalah) hukum yang anda keluarkan? Adakah dengan menemui sesuatu dalil yang sohih di dalam sesebuah kitab hadith, justeru kita akan terus mengeluarkan hukum berdasarkan zahirnya tanpa mengira kupasan dan perbincangan ulama’ mengenainya? Semoga Allah menhindarkan kita dari tergesa-gesa dan melulu dalam menghukum.
Berkata Ustaz Ravi:
“Mari kita perinci satu persatu. Pertama, hadis riwayat Muslim (no. 203) yang sanadnya daripada Anas r.a; seorang lelaki bertanya kepada Rasullullah: Wahai Rasulullah, di manakah ayahku? Nabi menjawab, "Di dalam neraka." Apabila lelaki itu berpusing untuk pergi, baginda memanggilnya lalu berkata: "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di neraka."
Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim (judul buku: Huraian hadis-hadis Sahih Muslim) berkata: Ia nas dalil bagi larangan memohon doa keampunan kepada orang-orang kafir.”
Berkata hamba yang dho’if:
Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz:
عَنْ حَمَّادِ بْنِ سَلَمَةَ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيْنَ أَبِي؟ قَالَ: فِي النَّارِ، فَلَمَّا قَفَّى دَعَاهُ، فَقَالَ: إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ.
Daripada Hammad ibn Salamah daripada Thabit, daripada Anas ibn Malik RA: “Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?" Rasulullah SAW menjawab, "Di dalam neraka." Tatkala lelaki tersebut berpaling, Rasulullah SAW memanggilnya lalu berkata, "Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.”
Maka yang difokuskan oleh Ustaz Ravi di sini ialah pada maksud lafaz hadith:
“Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.” Maka dengan tergesa-gesa selepas itu beliau mengeluarkan hukum ayahanda Nabi mati dalam kekufuran.
Para ahli hadith mengesahkan bahawa lelaki yang bertanya kepada Rasulullah SAW itu ialah seorang 'Arabi (badwi). Pendapat ini disepakati berdasarkan hadith yang menceritakan kisah yang sama, yang diriwayatkan oleh Mu’ammar daripada Thabit. Tetapi, perbezaan di antara kedua-dua jalan ialah hadith yang diriwayatkan melalui jalan Mu’ammar tidak mempunyai lafaz:
إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ
“Sesungguhnya bapaku dan bapa kamu di dalam neraka.”
Maka faedah ilmiah yang pertama yang kita perolehi di sini ialah lafaz di atas tidak disepakati oleh para perawi.
Hadith yang diriwayatkan oleh Mu’ammar tanpa lafaz tersebut lebih diyakini dari aspek riwayat dan lafaz, menurut ahli hadith, Mu’ammar adalah seorang yang lebih terpeliharan hafazannya dan dia tidak menerima sebarang kritikan dari ulama’ Jarah dan Ta’dil. Tambahan lagi al Bukhari dan Muslim bersepakat dalam menyatakan keyakinan mereka terhadap Mu’ammar. Ini berbeza dengan situasi Hammad yang hanya diyakini oleh Muslim tetapi tidak di sisi al Bukhari.
Katakanlah lafaz Hammad ibn Salamah dalam Sohih Muslim di atas adalah dari lafaz Nabi SAW sendiri, maka ia tidak juga boleh dijadikan sandaran dalam menghukum kekufuran ayah Nabi SAW kerana ‘illah dari aspek matan menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW menggunakan teknik dan kaedah yang membawa erti kesamaran supaya keadaan menjadi lebih tenang dan terkawal. Rasulullah SAW menggunakan lafaz persamaan kedudukan bagi kedua-dua bapa dengan tujuan-tujuan tertentu. Di antaranya:
1) Apabila Rasulullah SAW menyatakan persamaan kedudukan kedua-dua bapa mereka di dalam neraka, wujud persamaan dan tautan hati lelaki 'Arabi terhadap Rasulullah SAW dan lebih bersemangat untuk mendalami ajaran Islam.
2) Sekiranya Rasulullah SAW menyatakan bahawa bapa 'Arabi tersebut di dalam neraka, sedangkan bapa Baginda SAW di dalam syurga, maka lelaki 'Arabi itu akan merasakan jurang perbezaan di antara mereka berdua dan dikhuatiri perkara ini akan menyebabkan lelaki 'Arabi tersebut lari menjauhi Islam serta kembali murtad.
3) Sekiranya Rasulullah SAW membezakan kesudahan bagi kedua-duanya, dikhuatiri lelaki 'Arabi yang terkenal dengan sikap degil dan keras hati akan mengeluarkan kata-kata sumpahan dan caci-maki terhadap Rasulullah SAW yang bakal mengundang laknat dan kemurkaan Allah SWT.
4) Teknik yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bertujuan untuk mengelakkan fitnah dan sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap kaum 'Arabi dan kaum kerabatnya. Ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai kaum kerabat lelaki 'Arabi tersebut memeluk Islam.
Sekiranya kita mengkaji dengan meluas, terdapat banyak lafaz-lafaz dari hadith Nabi SAW yang menunjukkan gaya kaedah sebegini. Kerana Nabi SAW adalah seorang yang bijak dalam berdakwah dan berbicara dengan manusia sekadar mana pencapaian akal para pendengarnya. Apabila berurusan dan berbicara dengan orang arab badwi, maka mu’amalah Nabi SAW lebih lembut, mengalah, bertolak ansur dan lunak berbanding dengan mereka yang telah lama memahami serta mendalami Islam.
Faedah ilmiah yang lain yang dapat kita kutip ialah menurut al Hafiz al Suyuti juga, hadith sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini diriwayatkan oleh Hammad ibn Salamah dengan makna, bukan dengan lafaz. Manakala lafaz:
إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ
Merupakan lafaz yang tidak disepakati oleh para perawi dari jalan hadith yang lain. Berdasarkan riwayat Mu’ammar daripada Thabit pula, tidak kedapatan lafaz di atas, akan tetapi diriwayatkan dengan lafaz yang lebih umum.
Dalam riwayat yang lain, dikeluarkan oleh al Bazzar dalam Musnadnya dan al Tabrani di dalam al Mu’jam al Kabir dengan sanad rijal yang sohih, daripada Sa’ad ibn Abi Waqqas:
أَنَّ أَعْرَابِيًّا أَتَى النَّبِيَّ (ص) فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيْنَ أَبِي؟ قَالَ: فِي النَّارِ. قَالَ: فَأَيْنَ أَبُوْكَ؟ قَالَ: حَيْثُ مَرَرْتَ بِقَبْرِ كَافِرٍ فَبَشِّرْهُ بِالنَّارِ.
“Sesungguhnya seorang 'Arabi datang bertemu Nabi SAW lalu bertanya, "Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?" Rasulullah SAW menjawab, "Di dalam neraka." Maka lelaki Badwi tadi bertanya pula, "Di mana pula bapamu?" Rasulullah SAW menjawab, "Tatkala kamu berjalan berhampiran kubur seorang kafir, beritakan kepadanya bahawa dia di dalam neraka.”
Hadith yang diriwayatkan dari jalan Sa’ad ibn Waqqas ini secara jelas menerangkan kepada kita bahawa lelaki yang bertanya soalan kepada Rasulullah ini adalah seorang badwi yang dikhuatiri akan murtad disebabkan imannya yang masih belum benar-benar mantap, ditambah pula kefahamannya mengenai Islam masih cetek.
Ulama’ menyatakan bahawa lafaz “Abi” di dalam riwayat Muslim bukanlah ditujukan kepada Abdullah. Kerana tradisi masyarakat arab mereka memanggil ayah, bapa saudara dan datuk dengan gelaran “Abi”. Ini yang harus kita fahami dengan jelas.
Maka jika benarlah lafaz ini datangnya dari Rasulullah SAW, maka sesetengah ulama’ menyatakan bahawa yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan lafaz ‘Abi’ tersebut bermaksud bapa saudaranya iaitu Abu Tolib.
Menurut pendapat guru saya di Mesir, al Mufassir Dr. Judah al Mahdi al Husaini (Naib Rektor al Azhar), beliau menyatakan mengapa tidak lafaz itu ditujukan kepada Abu Lahab kerana kekufurannya adalah jelas, kedudukannya di dalam neraka adalah thabit dengan nas yang qot’i (Surah al Masad) dan dia juga adalah merupakan bapa saudara Nabi.
Maka adalah tidak sayugia menghukum aqidah bapa Nabi SAW dengan dalil Zonniyah al Dilalah.
Tuesday, May 4, 2010
SANAH HELWA YA WALED...
Dalil daripada Al-Quran dan Sunnah yang mengharuskan Menyambut Hari Kelahiran (s.a.w)
Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasulullah (s.a.w). Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31)

2-1 Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasulullah (s.a.w).
Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31) Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan natijah atau kesan akan adanya perasaan kecintaan terhadap Rasulullah (s.a.w), perasaan taat kepada baginda, sentiasa mengingati baginda, mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap baginda kerana Allah memuji akan baginda didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4) Tahap kecintaan kepada Rasulullah (s.a.w), merupakan antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan antara seseorang mukmin dan seorang mukmin yang lain. Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya." Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w) berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri." Dan Sayyidina 'Umar berkata,"Ya Rasulullah aku mencintaimu lebih daripada diriku sendiri. Kesempurnaan iman seseorang itu amat bergantung pada kecintaannya terhadap Rasulullah (s.a.w) dan para Malaikat sentiasa memuji baginda sebagaimana yang dimaksudkan didalam ayat al-Quran yang berbunyi, "Sesungguhnya Allah dan para Malaikat sentiasa bersalawat keatas Nabi" (33:56). Seterusnya ayat ini disambung dengan perintah Tuhan,"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu keatasnya". Ayat ini sahaja menjadi bukti bahawa kualiti iman seseorang itu bergantung kepada dan dizahirkan melalui selawat kepada Nabi (s.a.w). Ya Allah! Limpahkanlah selawat serta salam kepada Nabi, ahli keluarga baginda dan para sahabat.

2-2 Rasulullah (s.a.w) menekankan bahawa hari Isnin sebagai hari Kelahiran Baginda
Abu Qatada al-Ansari meriwayatkan didalam Sahih Muslim, kitab as-siyam (puasa), bahawa Rasulullah (s.a.w) kenapa beliau berpuasa pada hari Isnin, dan baginda bersabda,"Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul." Daripada Mutawalli Sha'rawi:"Banyak peristiwa yang ajaib telah berlaku pada hari baginda (s.a.w) dilahirkan sebagai bukti bagi hadith dan sejarah bahawa malam Rasulullah (s.a.w) dilahirkan tidak seperti malam-malam manusia lain dilahirkan". Peristiwa yang termaktub didalam hadith termasuklah gegaran yang dirasakan di istana 'Chosroes' dan padamnya api yang telah menyala selama 1000 tahun di Parsi dan beberapa peristiwa-peristiwa lain yang ditulis didalam karangan Ibnu Kathir, al-Bidaya, Jilid 2, mukasurat 265-268. Daripada Kitab al-Madhkal oleh Ibnu al-Hajj (jilid 1, ms. 261) "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan salam. Apabila baginda ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, baginda bersabda,"Hari itu adalah hari kelahiranku". Oleh kerana itu, hari tersebut telah memberi satu 'penghormatan' kepada bulan tersebut, kerana hari itu merupakan hari Rasulullah (s.a.w) dan baginda bersabda,"Aku merupakan penghulu bagi anak cucu Adam dan aku tidak mengatakan ini kerana kesombongan …dan baginda bersabda: Adam dan anak cucunya akan bernaung dibawah panji-panjiku pada hari pembalasan kelak. Hadith-hadith ini merupakan riwayat 'Shaikhayn' Bukhari dan Muslim. Dan Muslim menulis didalam Sahih nya, Rasulullah (s.a.w) bersabda, Aku telah dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu yang pertama telah diturunkan kepadaku." Rasulullah (s.a.w) mengutamakan hari kelahiran baginda dan memuji serta bersyukur kepada Allah, dengan berpuasa pada hari tersebut (Isnin) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Qatada didalam sebuah hadith. Ini bermakna, Rasulullah (s.a.w) telah melahirkan dan menzahirkan perasaan gembira baginda dengan berpuasa pada hari tersebut - salah satu daripada bentuk ibadah khusus. Oleh kerana Rasulullah (s.a.w) sendiri mengutamakan hari tersebut, jadi sebagai mencontohi baginda, sambutan atau ibadah yang selaras dengan shari'ah adalah dibolehkan - walaupun mungkin kaedah menyambutnya mungkin boleh berubah mengikut keadaan dan tempat tetapi dzat/intipati sambutan itu tetap sama. Dan kerana itu, berpuasa, memberi makanan kepada orang fakir miskin, bersama-sama berselawat kepada Nabi (s.a.w), ataupun bersama-sama mengingati dan merenung akan akhlaq baginda yang terpuji lagi mulia - semuanya merupakan kaedah ataupun cara yang boleh dilakukan untuk mengutamakan dan menyambut hari tersebut.
Saturday, April 17, 2010
Wednesday, April 7, 2010
Khutbah Waled di Masjid Taman Pekaka, Pulau Pinang
الحمد لله مستحقِ الحمد بلا انقطاع، ومستوجبِ الشكر بأقصى ما يستطاع، الوهابُ المنان، الرحيم الرحمن، المدعو بكل لسان، المرجو للعفو والإحسان، الذي لا خير إلا منه، ولا فضل إلا من لدنه. وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، الجميل العوائد، الجزيل الفوائد، أكرم مسؤول، وأعظم مأمول، عالم الغيوب مفرّج الكروب، مجيب دعوة المضطر المكروب،
وأشهد أن سيدنا محمداً عبده ورسوله، وحبيبه وخليله، الوافي عهده، الصادق وعده، ذو الأخلاق الطاهرة، المؤيّد بالمعجزات الظاهرة، والبراهين الباهرة. صلى الله عليه، وعلى آله وأصحابه وتابعيه وأحزابه
{يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ} [آل عمران:102].
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Melalui medium khutbah yang diperuntukkan ini saya mengingatkan diri saya serta menyampaikan pesanan kepada sidang Jumaat seluruhnya agar kita sedaya upaya meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Azza wajalla dengan beristigfar dan melaksanakan perintah dan menjauhi laranganNya. Kerana hanya melalui bekalan taqwa sahaja kita mampu menyelamatkan diri daripada kesengsaraan ujian di dunia dan azab akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kejadian jenayah melibatkan kes pembunuhan, pembuangan bayi semakin agresif dan anak-anak yang tidak berdosa dibunuh sangat meruntun hati insan yang berjiwa prihatin. Apatah lagi mangsa merupakan seorang anak kecil yang suci bersih. Kejadian-kejadian semumpama ini bukan sahaja mencemaskan rakyat negara ini malahan sedikit sebanyak menjejaskan nama baik Malaysia yang terkenal dengan ketinggian budaya timur dan diistilahkan sebagai the Truly Asian oleh pihak yang mempromosikan negara kita.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 257,411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf bermula tahun 2000 hingga Julai 2008. Begitu pula dengan masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar-pelajar sekolah yang melanda masyarakat kali ini juga semakin meruncing. Rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Bukit Aman melaporkan bahawa pada tahun 2008 sebanyak 5,115 kes juvana yang melibatkan seramai 7,126 orang kanak-kanak dan remaja juga amat membimbangkan.
Apakah tidak timbul kegusaran tuan-tuan apabila didapati purata umur kes juvana ini melibatkan kanak-kanak seawal umur 7 tahun hingga berumur 18 tahun? Mereka ini masih lagi berada di bawah jagaan keluarga dan itulah yang sepatutnya. Masih belum terlambat untuk kita kembali utuhkan kawalan anak-anak serta bertindaklah dengan sebaik mungkin.
Persoalannya mengapakah manusia tidak gerun untuk melakukan jenayah meskipun hukuman terhadap perbuatan itu boleh dikatakan agak keras di Malaysia ini? Apakah penjenayah kini sudah sampai ke tahap brutal dan amat sukar dikawal lagi.

Sidang Jumaat Sekalian,
Oleh sebab Deenul Islam itu syumul maka Islam mempunyai jawapannya. Apabila memperkatakan soal jenayah ia meliputi dua perkara iaitu hati dan minda penjenayah, serta perbuatan jenayah itu sendiri. Undang-undang manusia mungkin dapat mengawal perbuatan jenayah tapi agak sukar untuk kita mengawal hati dan minda penjenayah kerana ini merupakan soal hati manusia yang agak abstrak. Ia melibatkan soal dalaman yang sukar diterokai oleh undang-undang manusia keseluruhannya.
Sebab itu cara penyelesaian manusia terbatas walau sepintar mana sekalipun kita, walau setinggi mana juga pangkat kita. Akuilah kelemahan ini dan manusia hanya mampu meminda undang-undang yang berkaitan dari masa ke semasa agar hukuman yang sedia ada ditambah atau diperkuatkan lagi bagi menggerunkan penjenayah. Firman Allah dalam surah al- ‘Adiyat: 6
“Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya”
Firman Allah dalam surah al-Nisa’: 28
“Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia itu dijadikan bersifat lemah.”
Sama ada kita suka atau tidak Islam telah turun 1400 yang lampau dengan pakej dan menawarkan sistem kawalan yang terbaik bagi menangani hal seperti ini. Sistem yang telah dibuktikan keberkesanannya untuk mengawal jenayah. Ini merupakan suatu reality dan bukan omongan kosong sahaja.
Perbuatan jenayah bertitik tolak dari keinginan dan niat. Dengan lain perkataan hati manusia yang mendorong manusia untuk melakukan jenayah. Hati manusia pula dikawal oleh akal dan hawa nafsu. Hal ini telah dijelaskan dalam sebuah hadith daripada `Umar r.a. yang berkaitan dengan persoalan niat yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabda baginda:
انما الأعمال بالنيات وانما لكل امرئ ما نوى
"Sesungguhnya setiap perbuatan disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya.”
Apabila hawa nafsu mengatasi akal maka manusia terdoronglah untuk melakukan jenayah. Hawa nafsu manusia boleh jadi mendorong kebaikan dan boleh jadi juga mendorong ke arah kejahatan maka atas maslahah inilah Islam yang syumul tadi menawarkan sistem tazkiyyah al-Qulub atau tazkiyyah an-nafs iaitu Pembersihan hati atau penyucian hati.
Para Rasul tercinta diutus antara lain untuk mendidik manusia bagaimanakah untuk membersihkan hati mereka. Hanya Pencipta kita sahaja yang tahu "nature" hati manusia dan sekaligus menyediakan prosiding dan kaedah yang berkesan untuk membersihkan hati manusia.
Sebab itulah juga kita dapati diawal penurunan ayat al-Quran kepada baginda Rasulullah menyentuh soal penyucian akidah, pembentukan akhlak diikuti dengan fekah, syariat dan perundangan datang kemudiannya.

Ayat-ayat awal adalah ayat yang diturunkan untuk membentuk dan membersihkan hati manusia dari segala sifat buruk dan keji. Apabila manusia telah bersih hatinya maka amat mudah untuk mereka menerima undang-undang yang dikenakan ke atas mereka.
Maka sejarah Islam telah menyaksikan bagaimana mereka yang melakukan jenayah seperti seorang sahabat bernama Maiz datang sendiri berjumpa Yang Arif Hakim (iaitu Rasulullah s.a.w sendiri) bagi membuat pengakuan bahawa beliau telah melakukan jenayah dan meminta Rasulullah s.a.w mengenakan hukuman ke atasnya. Tanpa ada polis yang menangkapnya atau orang lain yang menyuruhnya. Ia tidak pernah berlaku dalam mana -mana sistem perundangan manusia.
Apabila hati manusia telah suci dan bersih, manusia ketika itu bukan sahaja ketagih arak malahan ke peringkat memuja dan mengagungkan arak melalui syair-syair mereka dengan begitu mudah dan bersahaja menerima undang-undang Islam yang mengharamkan arak secara total akhirnya.
Maka mereka yang sedang meneguk arak dengan pantas mencampakkan gelas-gelas yang sedang dipegang. Mereka yang menyimpan arak di bejana dan tong-tong di stor penyimpanan atau di rumah lantas memecahkannya tanpa berfikir dua kali. Hingga diriwayatkan Kota Madinah dipenuhi dengan limpahan arak. Mereka dengan bangga memecahkan bekas-bekas arak tersebut sambil berteriak" Intahaina Ya Rabb, Intahaina Ya Rabb ! (Kami telah berhenti, kami telah berhenti wahai Tuhan!). Lihatlah bagaimana hebatnya Islam membendung jenayah . Begitu ekonomikal.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Di samping pakej itu ibu bapa juga hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab yang lebih tinggi dan usah jemu dengan amanah kepada Allah s.w.t ini. Anak-anak diciptakan bukan sahaja untuk berseronok dan dibanggakan tetapi apa yang utama ialah mendidik mereka menjadi manusia yang berjaya di dunia ini, dan cemerlang di hadapan Allah.
Firman Allah s.w.t dalam surah at-Tahrim ayat 6:
“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu.”
Lakukan pencegahan awal kes jenayah dan gejala moral lain di rumah kita sendiri dan penurunan kadar jenayah khususnya di Pulau Pinang ini juga terletak di bahu kita semua.
Oleh itu, mimbar turut mengingatkan bahawa kerjasama orang ramai dan rakyat amat penting dalam membantu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang memainkan peranan besar dalam mengawal pencegahan kes-kes jenayah di seluruh Malaysia. Semoga amanah yang terlunas oleh kita semua mampu membina sebuah daulah yang harmonis serta beroleh keampunan Allah.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal ayat 27:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”