Friday, January 7, 2011

Khutbah WaLED di USM 2011-Transformasi Insan Rabbani



TRANSFORMASI INSAN RABBANI
7 JANUARI 2011
الحمد لله سبحانه، وضع الخير فيما أحل و أباح، وجعل السوء فيما حرم ومنع {وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكْماً لّقَوْمٍ يُوقِنُونَ} [المائدة:50]، له دعوة الحق وشرعة الصدق، {وَأَنَّ هَـٰذَا صِرٰطِي مُسْتَقِيمًا فَٱتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذٰلِكُمْ وَصَّـٰكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ} [الأنعام:153]، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، يضاعف الحسنات ويمحق السيئات، وأشهد أن محمدًا عبده ورسوله، صاحب الوجه الأنور والجبين الأزهر، إمام الأنبياء وسيد الحنفاء، صلوات الله وسلامه عليه وعلى آله وأصحابه وأتباعه، الذين آمنوا وهُدوا إلى الطيب من القول، وهدوا إلى صراط الحميد.
 أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَاللهِ! اتَّقُوا اللهَ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله, فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 
Firman Allah dalam surah al-A’raf:
“Dan telah Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda anugerah Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah azza wajalla dengan menyedari hakikat kewujudan kita di atas muka bumi ini lantas meningkatkan rasa bertuhankan Allah dan merendahkan keegoan diri. Dan dari situ akan tumbuh benih jatidiri sebagai individu Muslim yang terfokus kepada tuntutan Rabbani malah akan sentiasa mekar dan subur dalam minda dan sanubari.
Saudara hadirin Jumaat sekalian,
Khutbah cuba menyoroti sedikit daripada perutusan Naib Canselor  Universiti Sains Malaysia 2011 bertajuk INSANIVERSITI: MAKMURKAN NILAI KEMANUSIAAN DALAM UNIVERSITI atau Humaniversity: Transformation to Humanise the University  yang berlangsung beberapa hari lalu yang mana antara lain menuntut kepada keberanian kita semua untuk bangkit menongkah transformasi insan dari yang bersifat “Status Quo” kepada pemikiran yang boleh menerjah tempurung jumud dan static serta bergerak dalam tindakan yang lebih insani. Kita semua bukanlah sebuah manusia robotic yang dicipta oleh kilang Universiti atau mana-mana organisasi tetapi kita adalah seorang manusia yang yang dikurniakan hati dan perasaan. Itulah pokok dan pangkal segala perubahan seorang insan. Sabda rasulullah saw.
إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله ، و إذا فسدت فسد الجسد كله ألا
 و هي القلب " ( متفق عليه
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila buruk ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu”

Persoalan hati perlu difahami oleh kita semua selaku manusia yang waras dan mampu mempertimbangkan tindakan berdasarkan rencah keinsanan dan keihsanan.  Sebahagian ahli tasawwuf menyifatkan hati ini sebagai singgahsana rebutan Iblis dan nafsu. Suatu asimilasi yang bertujuan memberi gambaran bahawa begitulah apa yang disebut hati ini sangat mudah dicemari dan terdedah kepada unsur-unsur kesyaitanan dan mazmumah yang mana perlu di awasi,  dipelihara dan dirawat sebagaimana kita memelihara anggota-anggota lain dengan pelbagai produk kesihatan.

Sekiranya seketul daging seperti yang disebut dalam hadis ini tidak dipulihara maka awaslah ia akan ditakluki Iblis dan koncu-koncunya. Iblis laknatullah pula sebagaimana yang kita semua maklumi merupakan CEO kepada sebuah syarikat yang memberi servis dan bertanggungjawab dalam berorientasikan kejahatan – mensyirikan Allah, memurtadkan aqidah dan memberi idea-idea yang merosakkan dan kemusnahan kepada keharmonian serta kedamaian hidup manusia sebagaimana  perjanjianiannya kepada Allah dalam surah al-A’raf.
قال فبما  أغويتني  لأقعدن  لهم  صراطك  المستقيم ( 16 ) ثم  لآتينهم  من  بين  أيديهم  ومن خلفهم  وعن  أيمانهم  وعن  شمائلهم  ولا تجد  أكثرهم  شاكرين ( 17 (
Lalu iblis menjawab: "Oleh kerana Engkau (Ya Allah) telah menghukumku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus,
Kemudian akan aku datangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka dari orang-orang yang bersyukur (taat).



Saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mungkin ada di antara kita menterjemahkan maksud hati yang disebut diawal khutbah dan dalam hadis tadi itu ialah seketul daging yang lebih kurang setengah kilogram yang terdapat di dalam tubuh kita. Adakah itu yang dimaksudkan dengan Qalbu? Dan apakah hati itu yang perlu dibersih, disuci dan disamakkan?

Tetapi hati yang disebutkan hati atau Qalbun itu ialah Qalbun yang memiliki berbagai perasaan; sedih, gembira, bahagia, cemas, naluri, semangat, dan keinginan yang bertindak menjadi pengemudi dalam perilaku setiap insan dan inilah yang bercantum kemudian membawa maksud hakikat hati.
Abdul Wahhab al-Sha’rani memberikan pandangannya di dalam tulisannya ' al-Tabaqat al-Kubra ', menjelaskan kepada kita mengenai kepentingan hati dan ilmu tentangnya.

" Ketahuilah saudara-saudaraku...bahawa ilmu tasawuf itu merupakan suatu penjelasan mengenai ilmu yang terhasil atau muncul di hati para awliya' ketika mati hati tersebut digilap dengan amalan yang terkandung didalam al-Kitab dan al-Sunnah. Maka setiap orang yang mengerjakan amalan (suruhan) al-Qur’an dan al-Sunnah terhasillah baginya, berdasarkan amalan tersebut pelbagai ilmu, adab, rahsia dan hakikat yang lidah lemah dan kurang upaya untuk menjelaskannya "

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya proses transformasi insani ini tidak akan terlaksana melainkan kita semua melakukannya dari  dalam diri setiap individu. Apabila transformasi jiwa dan rohani telah berlaku dalam diri maka sebarang usaha kepada unsur-unsur keinsanan dan perikemanusiaan setiap hari dapat dicerna dengan mudah tanpa perlu disuruh atau dipinta.
Sebagai penutup khutbah ingin khatib selitkan sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani seorang tokoh sufi ternama. Dia didatangi oleh pembesar-pembesar  kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secara berjemaah. Dia menolak tetapi mereka berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.
Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka, beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing. Ada yang solat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang sibuk bermuzakarah bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.
Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.
Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja. Dia berkata: “Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.”
Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuhrendah. Para hadirin yang terdiri dari para dermawan, orang-orang kaya, cerdik pandai itu terasa terhina dan tidak puas hati.
Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa. Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Qadhi dipanggil untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika dia dapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.
Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan. Qadhi bertanya, “Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan?”
Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”

Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan berkata begitu?” Jawab Syeikh Abdul Qadir, “Kalau tuan Qadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.” Maka Qadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya.
Qadhi sangat mengenali bahawa Syeikh Abdul Qadir seorang yang kahsyaf.
Fahamlah beliau bahawa Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Allah. Allah tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

No comments: