Tamadun Islam

  INTELEKTUAL ANDALUSIA

Islam merupakan agama yang memberi fokus kepada tuntutan ilmu pengetahuan melalui disiplin al-Qur’an. Ayat al-Qur’an pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah telah menekankan kepentingan ilmu dan keperluan penyelidikan. Ayat ini juga telah membawa kepada satu reformasi ketamadunan manusia yang bermula antaranya dari negara Islam Andalusia. Masyarakat Muslim di Andalusia telah melakarkan episod kegemilangan dalam sejarah intelektual benua Eropah selama 8 abad. Mereka telah mengimplementasi al-Qur’an sebagai satu disiplin yang telah membimbing dan bertindak sebagai obor penyuluh kepada budaya dan ketamadunan dunia seluruhnya dengan membentuk metodologi, formula, ujikaji, pemerhatian, pengukuran dalam pelbagai bidang yang digunakan sehingga kini. Andalusia telah menjadi pusat ketamadunan dan aktiviti-aktiviti bersifat intelektual. Pada ketika itu juga, aktiviti keintelektualan di Andalusia telah melahirkan ramai perintis dan saintis hebat yang secara langsung memberi impak besar kepada dunia melalui ilmu, idea dan inovasi. Justeru itu, tulisan ini akan memberi fokus kepada kepentingan al-Qur’an sebagai satu disiplin dalam membentuk daya intelek dan budaya intelektual dengan membina kerangka kecemerlangan pemikiran dan kemajuan tamadun manusia.  Tulisan ini juga akan membincangkan hubung kait disiplin al-Qur’an yang mengandungi tauhid, syariat dan akhlak dengan peradaban intelektual Andalusia.  Hubungan disiplin al-Qur’an dan intelektual telah menumbuhkan fasa baru dalam evolusi tamadun manusia.



ANDALUSIA

Takrifan Andalusia pula dapat didefinisikan sebagai sebuah wilayah Selatan Semenanjung Iberia (sekarang sebahagian daripada Sepanyol dan Portugal) dan melakar nama dalam sejarah ketamadunan ketika berada di bawah pemerintahan Islam selama hampir lapan abad. Dalam kitab Lisan al-‘Arab pula kalimah Andalus disebut dengan sebutan yang berbeza iaitu Andulusu dengan menggunakan wazan Anfu‘ulu. Andalusia terletak antara lautan Atlantik dan Laut Mediterranean. Andalusia merupakan salah satu wilayah jajahan Kerajaan Rom pada permulaan abad ke-2 sebelum Masihi. Pada kurun pertama Masihi bermulanya pengaruh Kristian akibat penghijrahan rakyat Itali dan hinggalah  kurun ke-4 Masihi, kerajaan Jerman mengambil alih Dinasti Rom di Eropah dan bernaung di bawah jajahannya.

Ia pula dibaca dengan sebutan yang berbeza iaitu Andulus atau juga Andalus kerana ia bukanlah berasal daripada kalimah bahasa Arab. Nama kepada negara tersebut juga dikatakan berasaskan urutan sejarah dan sempena memberikan penghormatan kepada individu yang terlibat dalam sejarah Andalusia seperti yang dinyatakan oleh Abi al-Hasan ‘Ali bin ‘Abd al-Wahid al-Syaibani  (m. 1233M) atau lebih dikenali sebagai Ibnu al-Athir al-Jazari. Beliau menyatakan dalam Kitab al-Kamil fi al-Tarikh, “Andalus” berasal dari nama pembuka negara tersebut iaitu “Andalus bin Yafuth bin Nuh.” Ibnu Manzur al-Ifriqi al-Masri, Jamal al-Din Muhammad bin Makram (1882), Lisan al-‘Arab, Beirut: Kitab ini memberi penjelasan bahawa lafaz Andulus terbina atas wazan Anfu‘ulu dan huruf nun pada lafaz  Andulus dikekalkan kerana ia bukan merupakan huruf tambahan. Andulus dieja dalam Arab dengan diberi tanda  fathah ( baris atas) hamzah, dommah (baris hadapan) Dal dan Lam.

Menurut Osman Khalid, kaum dan bangsa pribumi juga dikatakan mempengaruhi nama Andalusia pada zaman silam ketika kaum Vandal mendominasi wilayah yang dihuninya itu. Suku kaum Vandal  yang menetap di Selatan Sepanyol telah menukar nama Semenanjung Iberia tersebut  dalam bahasa mereka iaitu Vandalusia yang bererti “Tanah kepunyaan orang-orang Vandal.” Selepas penaklukan Islam semasa pemerintahan Khalifah al-Walid binAbd al-Malik (m. 715M) barulah nama negara ini menjadi al-Andalus. Selain daripada itu al-Athir juga menyatakan penduduk asal negara tersebut dipanggil “Andalusy” dan sesudah itu  bangsa Arab menukarkan huruf “syin” diakhir dengan “sin” maka menjadi sebutan “Andalus”. Begitu juga  pendapat yang dinyatakan dalam kitabnya bahawa menamakan Andalus dengan “Isybaniah” sempena nama raja  yang  memerintah di zaman awal bernama Isyban ibnu Taitas yang beragama Majusi. Pendapat lain menyatakan  orang-orang Kristian menamakannya dengan “Isybaniah” juga kerana seorang lelaki telah disalib di sana yang bernama “Isybanis”.