Sunday, October 23, 2011

Khutbah Jumaat Waleed di Masjid USM. Penguasaan Ilmu






PENGUASAAN ILMU PENGETAHUAN


الحمد لله مستحقِ الحمد بلا انقطاع، ومستوجبِ الشكر بأقصى ما يستطاع، الوهابُ المنان، الرحيم الرحمن، المدعو بكل لسان، المرجو للعفو والإحسان، الذي لا خير إلا منه، ولا فضل إلا من لدنه. وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، الجميل العوائد، الجزيل الفوائد، أكرم مسؤول، وأعظم مأمول، عالم الغيوب مفرّج الكروب، مجيب دعوة المضطر المكروب، وأشهد أن سيدنا محمداً عبده ورسوله، وحبيبه وخليله، الوافي عهده، الصادق وعده، ذو الأخلاق الطاهرة، المؤيّد بالمعجزات الظاهرة، والبراهين الباهرة. صلى الله عليه، وعلى آله وأصحابه وتابعيه وأحزابه، صلاة تشرق إشراق البدور. {يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ} [آل عمران:102

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Marilah di hari yang mulia ini, pada Jumaat sayyidil ayyam kita meletakkan diri kita dalam zon peningkatan kualiti taqwa dengan melakukan seberapa banyak amalan soleh dan menjauhi seberapa boleh amalan yang merugikan. Kerana kita amat memerlukan benteng taqwa ini untuk melindungi dan mengawasi diri kita daripada tergelincir dalam lembah yang membinasakan.

Sidang Jumaat sekelian,

Islam amat menggalakkan umatnya menguasai ilmu pengetahuan bukan sahaja dalam asas ilmu Fardhu Ain seperti persoalan aqidah, fekah dan akhlak bahkan ilmu fadhu kifayah yang lain seperti astronomi, kejuruteraan, geografi, falsafah, seni bina dan lain-lain lagi. Kemampuan menguasai pelbagai ilmu pengetahuan secara kolektif dapat menjadikan umat Islam memiliki suatu kekuatan pengetahuan yang bersifat multi disiplin dan supaya kecemerlangan yang di asakan atas prinsip Mukmin Muslim dapat dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat dibangunkan. Proses dwi ilmu ini perlu bagi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti yang terdapat dalam matlamat Falsafah Pendidikan Negara kita apatah lagi ia pula tersenarai dalam Perancangan Strategik 5 tahun dalam prinsip yang ke-4 iaitu Penguasaan Ilmu Pengetahuan dalam strategi ke-20 yang berbunyi

“ Mempertingkatkan usaha-usaha penguasaan ilmu secara meluas, berterusan dan bersepadu antara ilmu fardhu ain dengan ilmu fadhu kifayah”.

Dalam huraiannya pada para yang ke-4 dinyatakan perlunya peringkat institusi pengajian tinggi, lebih banyak fakulti akan menawarkan program dwi pengkhususan (double major) yang melahirkan graduan pakar dalam bidang agama dan lain-lain bidang seperti doktoran, bio-technology, farmasi dan seumpamanya. Di samping mewujudkan prasarana yang lebih luas, masyarakat perlu diberi kesedaran dan diterapkan ruh Islami supaya kita tidak memisahkan antara kepentingan mempelajari ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah.



Firman Allah SWT dalam al-Qur’an surah al-Mujadilah ayat 11:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kalian diminta untuk melapangkan tempat duduk bagi orang lain agar ia dapat duduk bersama kalian maka lakukanlah, Allah pasti akan melapangkan segala sesuatu untuk kalian! Dan apabila dikatakan “berdirilah maka berdirilah nescaya Allah akan meninggikan (kedudukan) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat . Dan (ingatlah), Allah maha mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”.


Sidang Jumaat dirahmati Allah,

Kekeliruan atau skeptitisme masyarakat hari ini terhadap istilah sains membawa kepada ketidakadilan maksud ilmu yang sebenar. Istilah sains dalam kalimah Arab disebut ‘al-‘ulum,’ kata dasarnya ialah ‘al-‘ilm’ yang membawa pengertian suatu ilmu. Ilmu sains telah dilihat mempengaruhi perkembangan tamadun bangsa seperti yang dijelaskan dalam ini. Istilah sains tersebut mula diberi dimensi baru oleh peradaban barat dan memberi implikasi kepada aspek ketamadunan bangsa. Permasalahan timbul apabila penilaian sains dan teknologi hari ini seolah-olah melihat konsep yang dibentuk oleh Barat dan Eropah sebagai model. Secara tidak langsung menafikan kewujudan tamadun Islam yang pernah mewarnai zaman kegelapan Barat dan Eropah suatu ketika dahulu

Bagi orang Islam pendekatan Islam meletakkan keseimbangan iman dan taqwa kepada Allah sebagai teras utamanya. al-qur’an dan sunnah Rasulullah S.A.W sebagai teras pegangan dan rujukannya. Gabungan mantap akidah, akhlak dan penguasaan ilmu duniawi adalah teras perancangan dan pelaksanaan pembangunan diri dan pengurusan sistem untuk mencapai umat yang berkualiti dan negara yang cemerlang. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT. dalam surah al-A’raaf :96,

Yang bermaksud : “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi . Tetapi mereka mendustakan(rasul kami), lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Dalam sejarah masyarakat Islam yang maju lagi bertamadun ianya tidak akan berlaku tanpa menjadikan dwi ilmu sebagai sumbernya. Tamadun Baghdad dan Tamadun Andalusia menjadi contoh nyata bagaimana gabungan ilmu yang integratif mampu menyumbang ke arah pembangunan modal insan dan ketamadunan fizikal bahkan memberi ledakan kepada tamadun disebelah Barat.

Sebagai contoh mari kita mengimbas sejarah peribadi ringkas silam tokoh yang berjaya mencipta nama di persada dunia di antaranya ialah :

Abu Bakar Muhammad ibn Yahya ibn Bajjah (Avempace) (m.1138 Masihi), ia dilahirkan di Saragosa, seorang ahli matematik, astronomi, perubatan dan penyair, selain hafal al-Quran beliau pula mahir dalam ilmu fizik dan falsafah.

Selain itu juga, Abu al-Walid ibn Rushd (m.1198 Masihi). Ibn Rushd adalah seorang ahli fekah, perubatan dan ahli falsafah terbesar dalam sejarah Islam pernah menjawat jawtan hakim di Seville dan Cordova. Kerana kepakarannya juga dalam bidang kedoktoran, Ibn Rushd pernah dilantik menjadi doktor istana Sultan. Karya besar yang ditulis oleh Ibnu Rushd adalah Kitab Kulliyyah fi-al-Tibb atau Ensiklopedia Perubatan yang terdiri dari 16 jilid yang pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1255 Masihi, kemudian buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan nama "General Rules of Medicine" sebuah buku kajian wajib di universiti-universiti di Eropah.


Hadirin Jumaat sekelian,

Melalui pengukuhan ilmu fardu ain yang dilengkapkan dengan penguasaan ilmu fardu kifayah akan mempercepatkan proses kecemerlangan ke arah masyarakat yang glokal bagi membina generasi yang memiliki minda kelas pertama. Melalui sistem pendidikan yang melengkapi dwi pengkhususan dan double Major ini, kita mampu melahirkan sumber tenaga yang akan menerajui pembangunan ummah dan negara.

Usaha penggalian, penerokaan serta penemuan ilmu sains dan teknologi amat digalakkan dalam tradisi Islam. Amat disedari umat Islam tidak lagi ketinggalan dalam penguasaan sains dan teknologi pada masa kini. Sewajarnya usaha pengkajian dan penyelidikan (tadabbur) dijadikan matlamat keilmuan supaya asas pembangunan intelek, rohani dan jasmani dapat berlaku secara seimbang, menyeluruh dan tersusun. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah A-li‘Imraan: 190

Maksudnya : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda(kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

Sinopsisnya, dalam menghadapi cabaran globalisasi dan cabaran semasa, faktor dwi ilmu sewajarnya menjadi fokus bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan ketrampilan tetapi juga memiliki nilai-nilai murni yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan negara, bangsa dan manusia sejagat.

Thursday, October 6, 2011

Andainya Rasulullah saw. Bersama kita...



Lirik dalam Bahasa Arab dan Melayu




Kalau Kekasih (Nabi) di kalangan kita : لو كان بيننا الحبيب

Akan datang kepada kita yang jauh dan yang dekat : لدينا القاصى والقريب

Dari Taibah sebelum Magrib : من طيبة قبل المغيب

Berkehendakkan dekat dengan Kekasih : طالبا قرب الحبيب



Dengan dekat dengannya hati menjadi tenang : بقربه نفس تطيب

Dan berdoalah kepada Allah, akan dijawabNya : فتدع الله يجيب

Cahayanya mekar takkan padam : انوار طاح لا تغيب

Sampaikanlah pertemuan kami wahai yang Maha Menjawab : بلغنا لقاه يا مجيب



Untukmu kuserahkan diri aku wahai Kekasih : فدتك روحي يا حبيب

Muhammad yang memuliakan orang asing : محمد مكرم الغريب

Dengan dekat denganmu hati menjadi tenang : بقربك الروح تطيب

Wahai rahmat sekelian alam : يا رحمة للعالمين



Englsih Subtitle / Translation



If the beloved (saw) were among us

Those from far & near will come to him (saw)

Hoping to see the sun of goodness before it sets

Desiring to be near to Him (saw)



In this company the soul feels great

On that moment If it prays to Allah, Allah will surely answer

The light of Taha (saw) will not cease to exist

Oh Ya Allah who answers prayer, please fulfill our hope to meet him (saw)



I am willing to sacrifice my life for you

Oh beloved (saw) Muhammad saw honor of strangers

In your company the soul feels great

Oh mercy to all the worlds (saw)



..erm, ada yang menangis sedih dalam rancangan nie apabila seorang wanita Arab ditanya soalan: Andai Rasulullah Bersama Anda Sekarang, Apa yang akan Anda katakan? Jawabnya: Dia mohon Rasulullah bawanya bersama pergi daripada dunia yang fana ini, kemudian dia menangis. Lebih kurang begitulah maksudnya. Bagaimana pula jawapan anda?.. seandainya sekarang Rasulullah bersama Anda?



Wednesday, August 10, 2011

Penghayatan Nurul al-Qur’an Pada Bulan Ramadan




(Kertas kerja yang dibentangkan oleh Waled di Seminar Kebangsaan Penghayatan Ramadhan 2008. Harap dapat dimanfaatkan !)
Al-Qur’an dan Ramadan tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya merupakan kurniaan yang sangat besar buat Nabi Muhammad apatah lagi umatnya. Al-Qur’an ditakrifkan sebagai kalam Allah yang mengandungi mukjizat diturunkan kepada Rasulullah untuk menjadi perlembagaan dalam dakwahnya mengajak manusia kepada Islam. Al-Qur’an juga menjadi penyaksian kepada kebenaran seruannya serta diturunkan dalam bahasa Arab, diturunkan kepada Rasulullah secara mutawatir (berturut-turut).


Nuzul al-Qur’an

“ …jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada Hari al-Furqan, iaitu ketika bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Surah al-Anfal (8:4)

Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan tarikh turunnya al-Qur’an kepada Rasulullah buat pertama kali bertepatan dengan “hari al-Furqan ” iaitu merujuk kepada peristiwa peperangan badar yang berlaku pada 17 atau 19 Ramadan tahun 2 hijrah bersamaan 6 Ogos tahun 610 Masihi dan peristiwa turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah pada 17 Ramadan tahun ke 41 selepas kelahiran Baginda.

Dalam riwayat yang lain ada menyatakan tarikh penurunan al-Qur’an ialah pada 24 Ramadan berdasarkan hadis daripada Ibnu ‘Abbas.


Pada hakikatnya ulama berselisih pendapat dalam menetapkan cara penurunan al-Qur’an itu dari Lauh al-Mahfuz pada malam Laylah al-Qadr ke langit dunia seterusnya kepada Rasulullah. Pendapat yang paling masyhur menyatakan bahawa al-Qur’an itu diturunkan ke langit dunia pada malam Laylah al-Qadr dengan kandungan yang lengkap kemudiannya diturunkan selepas itu secara mutawatir atau berperingkat-peringkat dalam tempoh masa antara 20-25 tahun berdasarkan perbezaan pendapat tentang penetapan tempoh menetapnya Rasulullah di Makkah selepas kerasulannya.


Dalam surah al-Isra’ ada diceritakan bagaimana penurunan ayat-ayat al-Qur’an mengikut peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa-masa yang berlainan atau kejadian-kejadian tertentu yang memerlukan kepada penjelasan wahyu. Maksud firman Allah:

“Dan al-Qur’an itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.”

Surah al-Isra’ (17:106)


Dalam surah al-Furqan juga ada menjelaskan tentang masa penurunan al-Qur’an begitu juga dengan surah al-Qadr. Maksud firman Allah:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur’an itu pada malam yang Mubarakah (berkat); (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”

Surah al-Furqan (44:3)


“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Qur’an) ini pada Malam Lailah al-Qadr.”

Surah al-Qadr (97:1)

Dalam kitab tafsir al-Fakhr al-Razi meriwayatkan bahawa penurunan wahyu kepada Rasulullah adalah secara berperingkat mengikut keperluan. Persoalan tentang mengapa Allah tidak menurunkan serentak kepada baginda perlu dielakkan bagi mengelakkam timbul keraguan kepada akidah sebagaimana yang telah dipersoalkan oleh kaum kuffar. Maksud firman Allah:


Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan al-Qur’an itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?” al-Qur’an diturunkan secara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.”

Surah al-Furqan (25:32)


Dalam kitab Sahih al-Bukhari karangan al-Imam ‘Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhari al-Ja’fi dalam bab yang menyatakan Kayfa Nazala al-Wahyi, hadith 479 mengatakan:


“Diceritakan kepada kami oleh Ubaydillah bin Musa dari Syaiban dari Yahya dari Abi Salamah telah berkata: Dikhabarkan kepadaku oleh ‘Aisyah dan Ibnu ‘Abbas dan mereka berdua berkata: Sesungguhnya Nabi Muhammad telah menetap di Makkah selama sepuluh tahun dan telah turun padanya al-Qur’an dan begitu juga di Madinah selama sepuluh tahun.”


Bila disebut bahawa al-Qur’an adalah mukjizat terbesar Nabi maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Qur’an.


Hubungan Lailah al-Qadr dan Nuzul al-Qur’an

Lailah al-Qadr pula ialah suatu malam dalam bulan Ramadan yang sangat besar fadhilatnya. Malam al-Qadr ini biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadan dan amalan pada malam itu lebih baik dari 100 bulan. Lailah al-Qadr juga mempunyai hubungan yang rapat antara peristiwa nuzul al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke langit dunia sebagaimana yang telah diterangkan dalam kitab Allah dalam surah al-Qadr tersebut.


Peristiwa yang berlaku 1400 tahun dahulu memberi gambaran kepada umat Islam hari ini bahawa al-Qur’an merupakan mukjizat terbesar kepada Rasulullah buat tinggalan umatnya. Adalah menjadi sebahagian tanggungjawab Muslim untuk mengetahui fungsi al-Qur’an agar lebih memahami tugas sebagai umat Muhammad apatah lagi hamba Allah.


Antara fungsi al-Qur’an yang utama ialah ia merupakan suatu mukjizat kepada Rasulullah. Cercaan dan penghinaan diterima oleh Rasulullah setelah turunnya wahyu apatah lagi ia diwahyukan pada zaman kesusasteraan Arab sangat gemilang ketika itu. Namun mereka tidak mampu menyahut cabaran Allah dan Rasul-Nya untuk mendatangkan ayat-ayat seperti al-Qur’an. Seterusnya fungsi utama al-Qur’an ialah sebagai sumber rujukan hukum dan peraturan serta mendidik umat manusia mengendalikan kehidupan secara Islam. Bertitik tolak dari zaman permulaan Islam kegemilangan ilmu pendidikan mula menguasai umat Islam seawal turunnya wahyu yang pertama iaitu surah al-’Alaq ayat 1 hingga 5 menandakan kewajipan umatnya menuntut ilmu tanpa mengira kaum, jantina dan keturunan. Membaca melibatkan proses mental, pengenalan, ingatan, pengucapan, pemikiran kritis dan psikologi. Apatah lagi seseorang yang menguasai ilmu itu akan memperolehi banyak kelebihan bahkan berganda seperti yang dijelaskan dalam al-Qur’an.


Fadhilat al-Qur’an

Dalam Kitab Riad al-Solehin memuatkan 11 hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim tentang ganjaran orang-orang yang membaca al-Qur’an. Antaranya hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud yang bermaksud:

“Barangsiapa membaca satu huruf Kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf, tetapi Alif, satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.”

Riwayat al-Tarmizi dan katanya Hadis Hasan Sahih


Bahkan fadhilat orang yang mahir dengan ilmu al-Qur’an pula dinyatakan secara ilmiah menurut hadis-hadis Rasulullah antaranya ialah:


Orang yang membaca al-Qur’an dan mahir dengan ilmu-ilmu al-Qur’an akan bersama-sama dengan para Salafusoleh dan orang yang membaca al-Qur’an tetapi dia tersekat-sekat bacaannya dan kesukaran baginya untuk membaca maka baginya dua ganjaran.”

Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim


Dalam hadith daripada Ibnu ‘Abbas juga ada menyatakan kerugian besar bagi sesiapa yang tidak membaca, menghafaz atau menghayati kandungan al-Qur’an seumpama rumah yang telah runtuh. Seolah-olah ingin menggambarkan segala keindahan dan kemewahan yang ada tidak berguna lagi. Maksud hadith:


“Sesungguhnya orang yang tidak terdapat dalam rongga badannya sesuatu dari Al-Qur’an adalah seperti rumah yang roboh.”

Riwayat Tirmidzi dan katanya: Hadith Hasan Sahih



Peradaban al-Qur’an

Adab al-Qur’an pula dikupas oleh Yusuf al-Qaradawi dengan menjelaskan lebih spesifik iaitu interaksi dan sikap seseorang Muslim terhadap ajaran yang terkandung di dalamnya. Setiap individu Muslim hendaklah memberi perhatian dan kepatuhan yang mutlak kepada Allah, berjuang dan meluangkan masa untuk mengkaji, merenungi serta memahaminya dengan baik. Penghayatan isi kandungnya tidak boleh diabaikan dan perlu melalui beberapa proses yang berterusan seperti kupasan-kupasan ayat melalui penafsiran. Pengkajian ayat-ayat al-Qur’an pula dilakukan dengan cermat dan teliti untuk mengelakkan dari berlakunya kesilapan yang boleh melemahkan fungsi al-Qur’an sebagai mu’jizat al-Kubra. Abi Hamid Muhammad ibnu Muhammad al-Ghazali (m.505H) pula mengingatkan terhadap mereka yang melakukan pengkajian alam dan kejadian makhluk di alam ini dengan menyatakan:


“…beberapa kewujudan penciptaan di alam ini ada pelbagai, ada antaranya yang tidak diketahui langsung asal kewujudannya maka tidak mungkin bagi kita untuk berfikir dan kita juga banyak yang tidak tahu apakah ia seperti maksud firman Allah: “Dan Dia menciptakan apa yang tidak kamu ketahui,” Dan ada yang kita ketahui kewujudannya tetapi tidak dapat mengetahui secara lengkap maka boleh bagi kita untuk melakukan penelitian secara lebih teliti sama ada dengan pancaindera atau seumpamanya.”


Dalam menjelaskan fungsi al-Qur’an pula, Abi Ja’far Muhammad bin Jarir al-Tabari (m.310H) menjelaskan ia hanya akan menjadi petunjuk sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an kepada golongan muttaqin dan mu’minin sahaja dan secara muktamadnya tidak termasuk dalam maksud ini ialah golongan yang bukan Muslim. Penjelasannya terkandung dalam surah al-Baqarah ayat 2:


“Itulah Kitab yang tidak ada keraguan padanya dan menjadi petunjuk kepada golongan yang bertaqwa.”

Surah al-Baqarah (2:2)


Pada dasarnya dalam al-Qur’an terkandung pelbagai displin ilmu yang menjadi panduan manusia ke arah jalan kemuliaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Penerapan pendidikan al-Qur’an seharusnya diterapkan bermula dari kanak-kanak agar dapat dibentuk generasi yang mahir tentang al-Qur’an, berilmu pengetahuan yang tinggi, beriman dan beramal soleh serta berakhlak mulia. Bahkan semangat cintakan al-Qur’an hendaklah sentiasa dipupuk dan dipelihara disamping mengukuhkan rasa cinta kepada al-Qur’an serta mampu menerapkan nilai-nilai yang luhur dalam diri.


Kaedah pendidikan al-Qur’an dapat membantu proses penghayatan al-Qur’an. Melalui beberapa kaedah yang tertentu proses pendidikan Islam yang bersumberkan wahyu mampu melahirkan insan soleh yang mampu memikul tanggungjawab khalifah yang ditaklifkan kepada manusia. Umumnya pendidikan berasaskan al-Qur’an merupakan sumber utama kepada falsafah pendidikan Islam yang disusuli pula dengan al-Sunnah sebagai pelengkap. Antara kaedah pendidikan berasaskan al-Qur’an itu ialah:


1. Kaedah nasihat. (al-Mau’izah).

Terdapat beberapa sebab mengapa manusia perlu kepada kaedah nasihat. Antaranya ialah disebabkan sifat manusia yang leka, alpa, pelupa dan asyik dengan keseronokan dunia. Maksud firman Allah:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia sentiasa berada dalam kerugian melainkan orang-orang yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.”

Surah al-‘Asr (103:1-3)

Dalam al-Qur’an kaedah ini dinyatakan oleh Allah dalam kisah Luqman al-Hakim yang menasihati anaknya melalui kaedah ini dalam surah Luqman ayat 13-19.


2. Kaedah peringatan. (al-Zikr).


Dalam pendidikan melalui peringatan perlu buat manusia sering lupa kepada kehidupan duniawi. Al-Qur’an menyediakan kaedah ini dalam himpunan ayat-ayatnya supaya manusia kembali menyedari tentang hakikat penciptaannya. Maksud firman Allah:


”Maka berilah peringatan kepada manusia, sesungguhnya kamu hanyalah pemberi ingatan.”

Surah al-Ghasyiah (88:21)


Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman.”

Surah al-Zariyat (51:55)


3. Kaedah penceritaan.


Kaedah ini merupakan antara kaedah yang banyak dinukilkan dalam al-Qur’an serta menjadi metod yang mudah kepada pembaca dan pendengar al-Qur’an untuk diambil pengajaran. Sesungguhnya terdapat pengajaran dalam kisah-kisah yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Qur’an. Maksud firman Allah:

”Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka (nabi-nabi) terdapat pengajaran dan iktibar bagi orang-orang yang berakal (berfikir).”

Surah Yusuf (12:111)


Terdapat banyak kisah yang mempunyai pengajaran dalam al-Qur’an seperti kisah Ashab al-Khafi, kisah nabi-nabi, kaum yang ingkar dan pemimpin yang kufur kepada Allah dan RasulNya. Kesemua ini dapat dijadikan pedoman oleh umat manusia jika benar-benar mereka memahami apa yang terkandung dalam ayat-ayat yang dibaca.


4. Kaedah soal jawab.

Pada umumnya kaedah ini memerlukan manusia berfikir akan jawapannya kerana kesemua soalan yang diutarakan oleh Allah dalam ayat-ayat tersebut terdapat jawapannya di hadapan mata manusia. Ada kalanya soalan disertakan dengan jawapan dan sering kali pula ayat yang meminta rasulnya bertanya untuk menimbulkan kesedaran dalam diri. Antaranya maksud firman Allah:


”(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.”

Surah al-Ghasyiah (85: 17-21)


5. Kaedah perbandingan

Dalam al-Qur’an ada membicarakan bentuk-bentuk perbandingan yang mampu manusia berfikir tentangnya. Sebagai contoh dalam surah Ibrahim Allah membuat perbandingan antara perkataan yang baik dan perkataan yang tidak elok. Maksud firman Allah:


“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan , iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya meraka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.”

Surah Ibrahim (14:24-26)

Dalam ayat ini juga Allah menarik perhatian hambanya dengan memulakan ayat melalui kalimah الم تر yang bermaksud “tidakkah kamu perhatikan” dan dalam ayat ini mengandungi kedua-dua gambaran antara yang baik dan buruk untuk dibuat perbandingan oleh manusia. Sudah tentu manusia yang berpegang teguh dengan ajaran al-Qur’an mendapat faedah yang banyak dari kaedah perbandingan seperti ini.


6. Kaedah ancaman dan janji

Faedah ancaman dan janji tidak terlepas dalam metod pendidikan al-Qur’an supaya manusia bertambah gerun dengan neraka Allah dan bertambah rasa takut kepada Allah. Begitu juga janji balasan baik kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amalan soleh mereka bakal memperoleh syurga Allah. Supaya bertambah rasa cinta kepada Allah dan meningkatkan rasa syukur kepadanya. Maksud firman Allah:


Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.”

Surah al-Nisa (4:124)



”Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk.”

Surah al-Furqan (25:66)



”Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan.”

Surah al-Furqan (25:69)


Ayat-ayat seperti ini dapat mendidik hati manusia supaya melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Maka sudah tentu para pembaca yang faham maksud ayat-ayat al-Qur’an dapat bertindak ke arah yang lebih baik.


Penghayatan al-Qur’an pada bulan Ramadan.

Menghayati al-Qur’an dan kandungan khususnya bulan Ramadan amat dituntut. Apatah lagi setiap ganjaran dikurniakan pahala yang berganda-ganda. Namun ada beberapa perkara yang harus diberi penekanan kepada pembaca al-Qur’an khusus pada bulan Ramadan supaya ibadat ini tidak dijadikan propaganda oleh musuh-musuh Islam yang ingin meleraikan ikatan ukhuwwah dan kekuatan umat Islam hari ini.


Antara amalan murni yang harus disebarkan kepada generasi hari ini ialah amalan bertadarus. Ibadat ini boleh dilakukan bersama keluarga atau juga bersama-sama rakan. Kesempatan ini wajar dipupuk bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja. Namun sesuatu amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan tidak dinafikan akan diberi ganjaran berlipat kali ganda. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ’Abbas, Rasulullah bertemu dengan Jibril pada bulan Ramadhan setiap malam untuk membacakan kepadanya al-Qur’an. Melaui hadis ini menunjukkan mudarasah antara Nabi dan Jibril terjadi pada malam hari. Boleh diistinbatkan daripada nas ini juga tentang anjuran memperbanyakkan membaca al-Qur’an sepanjang Ramadan pada malam hari, kerana ia merupakan waktu yang paling sesuai untuk tumpuan ibadah khusus, terhindarnya dari kesibukan, lebih mendatangkan kekuatan dan lebih memberi kesan kepada hati untuk renungan dan penghayatan. Hal ini jelas dinyatakan dalam firman Allah:


Sesungguhnya bangun pada waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyu’), dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.”

Surah al-Muzammil (73:6)


”Dirikan olehmu sembayang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembayang subuh sesungguhnya sembayang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya). Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah tahajjud padanya, sebagai tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

Surah al-Isra’ (17:78-79)



Jelas melalui ayat ini juga adanya tuntutan untuk mempelajari al-Qur’an pada bulan Ramadan dan berkumpul untuk melakukannya itu malahan dianjurkan memperbanyak bacaan al-Qur’an pada malam-malam bulan Ramadan.

Antara amalan lain yang dilakukan oleh beberapa kelompok berkumpul di masjid-masjid untuk melakukan aktiviti tadarus al-Qur’an, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

”Tidaklah berkumpul suatu kaum di salah satu rumah Allah seraya membaca kitab Allah dan mempelajarinya antara mereka, kecuali turunlah ketenangan atas mereka, serta mereka diliputi rahmat, dikerumuni para malaikat dan disebut-sebut oleh Allah kepada para malaikat di hadapan-Nya.”

Riwayat Muslim.


Melakukan aktiviti tadarus secara kelompok lebih baik sebagai satu kaedah pengajian al-Qur’an secara tidak formal. Melalui cara ini ahli tadarus akan menegur kesilapan bacaan antara satu sama lain kerana menjadi fardhu ain kepada pembaca al-Qur’an untuk membacanya dengan betul dan bertajwid. Bacaan al-Qur’an hendaklah dilakukan dengan teliti secara tartil sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud:

”Dan bacalah al-Qur’an itu dengan secara tartil.”

Surah al-Muzammil (73:4)

Al-Qur’an juga bukan sebarang kitab atau buku malahan terdapat adab-adab yang perlu dipelihara sewaktu membaca al-Qur’an. Dalam kitab al-Tibyan fi Adab Hamlah al-Qur’an karangan al-Nawawi menyatakan secara lengkap beberapa adab yang perlu dilakukan oleh pembaca al-Qur’an. Masyarakat tidak seharusnya memperkecil-kecilkan usaha sebahagian individu yang berusaha untuk mendalami ilmu pembacaan al-Qur’an kerana terdapat terlalu banyak fadhilat bagi pembaca al-Qur’an. Bahkan adalah lebih afdhal untuk melihat mushaf berbanding membaca secara hafalan kerana memandang kepada al-Qur’an sahaja sudah dikira ibadah apatah lagi membacanya.


Walaupun al-Qur’an diturunkan oleh Allah bukan sekadar untuk dibaca atau dilagukan semata-mata, tetapi masyarakat tidak harus memandang serong golongan yang berusaha untuk mendalami dalam bidang-bidang yang berkaitan dengannya termasuk mempelajari cara membaca dari asas al-Qur’an, memantapkan ilmu tajwid, mendalami ilmu tarannum, mempelajari Qiraat, Tarikh Qurra’ dan sebagainya. Hal ini bagi membendung segelintir masyarakat lain yang sentiasa mengambil kesempatan untuk terus meminggirkan al-Qur’an akibat adanya beberapa individu lebih-lebih lagi ilmuwan atau tokoh tertentu memperlecehkan golongan tadi. Maksud firman Allah:


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka...”

Surah al-Hujurat (49:11)


Justeru, seharusnya sikap kita sebagai mukmin yang sentiasa mempunyai motivasi diri untuk melakukan terbaik dalam amalan ibadat khususnya perlu melakukan satu peningkatan dalam pembacaan atau majlis tadarus al-Qur’an. Agar al-Qur’an itu benar-benar boleh berperanan sebagai cahaya menerangi kehidupan dan pembeza antara hak dan batil.

Suatu kekurangan jika sesorang yang mampu mengkhatamkan al-Qur’an sepanjang Ramadan tetapi tidak mengetahui sedikit sebanyak kandungan secara umum ayat yang baca. Begitu juga sedikit kecacatan jika al-Qur’an dilagukan tanpa dihayati pengertian ayat tersebut. Walaupun begitu masyarakat harus dicelikkan dengan kemahiran menggunakan Qur’an tafsir atau terjemahan. Oleh sebab majority masyarakat tidak memahami bahasa Arab maka individu perlu memperuntukkan waktu untuk menghayati maksud ayat-ayat yang dibaca.

Sesudah meneliti ayat-ayat yang dibaca seseorang qari akan melalui majlis khatam al-Qur’an seperti mana lazim yang dilakukan oleh masyarakat hari ini. Dalam kitab Tarikh Baghdad dinukilkan beberapa contoh para salafussoleh melakukan khatam al-Qur’an antara waktu maghrib dan isyak. Manakala dalam kitab al-Tibyan karangan al- Nawawi memberikan beberapa adab ketika mengadakan majlis khatam al-Qur’an antaranya ialah berpuasa pada hari khatam dilakukan. Beberapa orang tabi’in dari Kufah seperti Talhah bin Musyarrif, Habib bin Abu Thabit, Musayyab bin Rafiq kesemuanya lazim berpuasa pada hari mereka mengkhatamkan bacaan al-Qur’an. Begitu juga galakan meramaikan majlis khatam al-Qur’an dan membaca doa sesudahnya.


Secara kesimpulannya pengamalan bersibuk-sibuk dengan al-Qur’an khususnya pada bulan Ramadan dapat mendekatkan diri kepada Allah serta menjernihkan hati. Dari situ maka mudahlah terpancarnya cahaya ketaqwaan hasil tarbiyyah yang dilalui pada bulan Ramadan. Daripada Abu Sa’id al-Khudri daripada Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang disibukkan oleh bacaan al-Qur’an dan berzikir kepadaKu sehingga tiada masa baginya untuk meminta sesuatu kepadaKu, maka Aku akan memberinya seutama-utama yang pernah Aku berikan kepada orang-orang yang meminta kepadaKu, dan seutama-utama kalam Allah yang Maha Suci Maha Tinggi, yakni al-Qur’an ke atas sekalian kalam adalah umpama keutamaan Tuhan yang Maha Agung ke atas sekalian makhlukNya.”

Wednesday, August 3, 2011

Jom Join Akaun TAQWA di Bank RAMADHAN


Ahlan WA Sahlan Ya Ramadhan..
 "Jadikan RAMADHAN sbg UNIVERSITI yang mengjr kuliah2 IBADAH,

Tutorial2 IMAN,
asgmnt2 TAQWA dan
amali2 AGAMA...harap kita peroleh ijazah KEREDHAAN-NYA"

Waled terima msg tersebut pada 1 Ramadhan 1432 jam 05:31:11pm.

Ada beberapa msg lain yang menarik tapi yang ini msg agak lain daripada yang lain. Dah pengirim msg ni student universiti so msg Ramadhan pun berbaur kuliah, tutorial. :) Apa pun terima kasih kt chapik.

Waled terpanggil untuk melontar komentar tentang cara sebilangan rakan-rakan mengharungi ibadah di bulan al-Qur'an ini. Bukan untuk pembaca saja tapi juga untuk waled sendiri. Bak kata orang satu jari tuju ke orang dan empat jari lagi menghala ke diri kita. Objektifnya supaya kita tidak tergolong di kalangan 'al-khasirin' .

Ramadhan merupakan masa terbaik untuk kita melabur saham akhirat dan dapatkan Sijil Padang Mashyar dengan aggreget infiniti. Allah sebut dalam hadith :

"Setiap amanalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :" Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku" Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)"

Cuba perhatikan bagaimana kita penuhkan akaun ketaqwaan di bank Ramadhan ini. Padahal bank ini hanya dibuka hanya setahun sekali, kita bebas untuk memilih barisan paling hadapan atau tengah atau belakang. Inginkan tempat paling hadapan kena rebut nombor giliran di saf pertama dalam solat fardhu, banyakkan isi borang deposit sedekah dan jangan lupa untuk palang cek tarawih bukan apa bimbang cek tersebut di'tendang' sebab tak sempurna wuduk dan tersilap akaun niat.
 
Waled rasa ramai yang berebut-rebut ke bank ni di awal bulan je tapi bila tengah dan hujung bulan bank Ramadhan ni mula susut. Masing-masing berduyun-duyun ke pasaraya dan shopping mall.
Silap-silap saham yang dilabur tadi rugi saje atau pun defisit! Ingat, tahun depan tak pasti kita boleh datang lagi ke bank ni!
 
Bagi yang istiqamah dalam melabur saham akhirat melalui sijil premium 'Malam-malam Ganjil' pula bakal memperolehi cabutan bertuah LAILATUL QADAR. Wah, lumayan sungguh! siapa yang tak nak kan..
 
Bagi yang nak join akaun TAQWA secara online pun disediakan oleh pemilik bank RAMADHAN. Lawati laman web www.RAMADHAN 2U.taqwa
 
Jom Join!


Monday, June 20, 2011

KHUTBAH WALED DI MASJID USM 17 JUN 2011.

ME'MASJID'KAN KAMPUS DAN MASYARAKAT.



الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتِ , وَأَشْهَدُ أَنْ لا إِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

أَمَّا بَعْدُ فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ



قال الله تعالى : إِذَا جَآءَ نَصْرُ اللهِ وَالفَتْحُ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُوْنَ فِى دِيْنِ اللهِ

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Setibanya baginda s.a.w di Kota Madinah, baginda telah mendirikan sebuah bangunan yang dinamakan masjid. Masjid ini dibina di perkampungan yang bernama Quba’.Masjid yang dibina oleh Rasulullah adalah sangat ringkas dan begitu simple. Masjid yang hanya mempunyai empat penjuru itu didirikan setinggi paras dada dan berukuran sekitar 60 x 60 hasta . Setiap dinding barat, timur dan selatan dibuatkan pintu. Manakala pintu di sebelah utara yang menghala ke Baitul Maqdis pula dijadikan Qiblat.



Bangunan ringkas yang telah dibina oleh pesuruh Allah itu tidak ada sesuatu yang menakjubkan. Masjid yang dibina oleh Muhammad s.a.w itulah yang telah berjaya memperluaskan jajahan Islam hingga ke seluruh dunia. Baginda berjaya mengembleng jiwa masyarakat Islam ketika itu menjadi sebuah masyarakat yang amat disenangi hatta oleh kaum bukan Islam. Di sinilah peranan yang telah baginda atur melalui kewujudan masjid untuk tujuan perkembangan Islam, syakhsiyah , ekonomi, pendidikan dan sebagainya Di atas ketaqwaan yang benar-benar telus kepada Allah yang merupakan resepi masjid Nabawi berjaya menjadi sumber aspirasi Islam dan inspirasi ummah hingga ke hari ini. Allah s.w.t telah merakamkan di dalam Al-Quran


“Sesungguhnya masjid yang dibina berasaskan taqwa dari permulaan hari pembinaannya, lebih baik engkau mendirikan solat di dalamnya. Dalam masjid itu ada golongan manusia yang suka menyucikan (diri dan jiwanya). Dan Allah mengasihi orang-orang yang suci” .

( Surah At-Taubah, ayat 108)


Sidang Jumaat sekelian,

Selepas Khalifah Uthmaniah menguasai kota Constantinople (Istanbul), Sultan Ahmad I telah mendirikan sebuah masjid di atas tapak Istana Byzantium. Ia sebagai simbol penguasaan Islam ke atas sempadan benua Eropah yang sebelumnya dikuasai oleh Kerajaan Rom. Kemasyhuran Masjid Biru di kota Istanbul, Turki terus kekal hingga ke hari ini, menandingi kemegahan Aya Sophia yang begitu masyur sebelumnya. Namun hari ini masjid itu sepi tanpa jemaah yang ingin mengimarahkannya. Begitu juga situasi yang sama melanda masjid di Sepanyol di Cordova yang lebih malang lagi ia telah di jadikan muzium kerana umat Islam leka dan mengejar keseronokan hingga tiada masa untuk memperjuangkan nasib rumah Allah swt. itu.

Ajaran Islam sendiri tidak mengajar umatnya supaya binaan didirikan untuk tujuan kemegahan semata-mata. Bersesuaian dengan itu Allah s.w.t:


“ Tiadakah engkau ketahui bagaimana Tuhanmu memperbuat terhadap (kaum) Ad? ( Iaitu kaum) Iram yang mempunyai bangunan yang tinggi-tinggi). Yang belum pernah diciptakan seperti itu di seluruh negeri, dan (kaum) Tsamud yang telah memahat batu-batu di sebuah lembah( untuk dijadikan rumah), dan Firaun yang mempunyai bangunan-bangunan yang besar lai kukuh .Mereka itu semua telah bermaharajalela dalam negeri dan mereka telah membuat banyak kebinasaan, kemudian Tuhanmu menurunkan pelbagai azab seksaan kepada mereka ”. (Surah Al-Fajr, ayat : 6 - 13)



Kita semua harus mengambil iktibar daripada peristiwa yang telah diceritakan di dalam Al-Quran berkenaan kaum-kaum yang terdahulu suka bermegah-megah dengan binaan yang mewah. Padahal masjid yang dibina secantik-cantiknya tidak diimarahkan sepenuhnya.

Sidang Jumaat sekelian,



Masjid juga sering diperkatakan sebagai Rumah Ibadat atau ‘a house of worship’. Fahaman perkataan `ibadat' dan ‘worship’ yang biasa difahami adalah sebagai suatu set ritual tertentu seperti sembahyang, menunaikan haji yang dibuat khusus bagi menyembah Tuhan.

Masjid bukan sekadar pusat ibadah khusus seperti solat dan i'tikaf tetapi peranan masjid adalah lebih luas. Masjid yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat penyatuan, institusi ilmu, pusat sehenti dan markaz dakwah Islamiah serta pusat aktiviti umat Islam dan komuniti setempat.

Daripada ayat-ayat al-Qur'an tersebut di atas menggambarkan tanggungjawab seorang Muslim adalah amat luas dan makna ibadat di dalam Islam jauh berbeza dengan pandangan yang sempit sebagai kegiatan ritualistik semata-mata.

Masjid telah berperanan proaktif dalam pembangunan masyarakat setempat. Maka itu perancangan ruang dan bahasa seni bina masjid telah dibuat sebagai pusat komuniti yang aktif dan bukan bagaikan kuil atau biara yang sunyi sepi tempat orang beruzlah semata-mata.



Konsep `rumah suci' atau ikon suci wujud pada hampir semua agama. Konsep ini berlandaskan bahawa setiap penganut akan berasa lebih dekat dengan Tuhan jika sesuatu objek atau bangunan yang dibina untuk kegunaan Tuhan atau sebagai `wakil Tuhan' wujud di kalangan mereka.

Umat Islam mempunyai tiga objek dan bangunan yang dianggap suci. Pertamanya, Ka'abah di Makkah, kedua tapak Masjid-al-Aqsa di Palestin dan ketiga Masjid Nabi Muhammad (s.a.w) di Madinah

Islam telah menggariskan konsep dan sifat-sifat bagi mereka yang dapat mengimarahkan masjid berdasarkan firman Allah dalam surah At- Taubah ayat 18


Berdasarkan dari ayat itu juga menjelaskan, memakmurkan masjid merupakan perkara penting di dalam masyarakat bagi melahirkan kelompok manusia yang bertakwa dan melambang cirri-ciri seorang mukmin yang mensyukuri akan tuhannya.

Sidang jumaat yang dihormati sekalian,

Walaupun kita mengetahui fadhilat sembahyang berjemaah lebih afdal dilakukan di masjid. Tetapi janganlah membiarkan rumah-rumah kita sepi daripada amalan penghuninya mengerjakan sembahyang kerana sembahyang sunat individu lebih afdal dilakukan di rumah seperti yang disebutkan Rasulullah dalam hadis

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: لا تجعلوا بيوتكم مقابر، إنّ الشيطان ينفر من البيتِ الذي تقرأ فيهِ سورة البقرة

رواه مسلم وأحمد.:

Lakukan juga sembahyang-sembahyang kamu di rumah dan jangan dijadikan rumah kamu seperti kuburan. Sesungguuhnya syaitan menjauhi rumah yang dibacakan dalamnya surah al-Baqarah. (Sahih Muslim dan Ahmad)

Umat Islam digalakkan `memasjidkan' kediaman mereka dengan bersembahyang sunat agar ia tidak dianggap `mati' dengan roh Islam. Rumah juga adalah tempat yang terasing daripada pandangan ramai. Dengan itu kita boleh mengerjakan sebanyak mungkin sembahyang sunat yang kita inginkan dan sepanjang mana yang kita kehendaki.

Sidang jumaat yang dikasihi,

Walau apa tujuan kita ke masjid sama ada untuk solat sahaja, bertiktikaf, menelaah, berbincang, mendengar ceramah atau membaca al Quran, kita telah mendapat ganjaran yang besar daripada Allah swt. lantaran jiwa dan kehendak yang tinggi untuk memakmurkan rumah Allah swt. ini. Firman Allah swt. di dalam surah at Taubah ayat 18 .


"Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, dan menunaikan zakat dan tidak takut pada siapa pun selain pada Allah maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang yang mendapat petunjuk." (At-Taubah: 18)



Sidang jumaat yang dihormati sekalian,

Sekiranya kita benar-benar faham konsep masjid atau rumah Allah ini maka mudah untuk kita warga kampus khususnya memasjidkan Universiti dengan erti kata lain membawa keluar amalan-amalan murni yang biasanya dipraktikkan dalam masjid ke tengah kampus, di bilik-bilik kuliah, di pejabat, dalam urusan mesyuarat, di café atau kantin, jalan raya hingga berjaya mengembalikan peranan kita sebagai ikon ‘Khalifah al-Ard’ secara penuh bersahaja. Pastinya masyarakat Islam dan non-Muslim dapat melihat dan mengecapi suasana kehidupan yang harmoni. Manakala perpaduan masyarakat merentasi sempadan fahaman mazhab atau politik dapat merancakkan pembangunan Negara seperti yang digambarkan oleh Allah sebagai ‘Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur’.

Hadirin Jumaat sekalian,

Masih basah di memori kita, apabila masyarakat dunia terkesima dengan bencana ombak besar tsunami, masjid-masjid dilihat tetap berdiri teguh seteguh Islam itu, telah merubah hati dan menjentik sanubari insan-insan yang dulunya longlai untuk ke rumah Allah swt. akhirnya mengakui akan kebesaran Allah swt. melalui tanda-tanda yang ditunjukkan di hadapan mata.


Monday, May 9, 2011

Cukuplah Mati Sebagai Peringatan.


“Ketahuilah bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (al-Hadid: 20)




Kematian adalah lumrah kepada setiap kehidupan. Mati juga adalah kembar kepada hidup. Tidak terlewat sesaat dan tidak juga dipercepatkan sesaat. Mati tidak menunggu kita tapi kitalah yang menunggu kematian. Countdown kematian tiada siapa yang boleh membilang. Tempoh kehidupan tak siapa berani merancang. Yang dirancang ialah apa yang bakal ditinggalkan dan apa yang hendak dibekalkan.

Tanya pada diri kita berapa yang kita peruntukkan untuk bekalan ditinggalkan dan berapa pula untuk yang dibawa. Selepas tanya diri periksa lah pula kualiti bekalan yang mungkin luput tarikhnya, sudah lama tidak di upgrade, tidak ditambah nilai dan semakin kusam. Maka dari situ kita gilap dan tambah kembali bekalan tadi hingga jemu. Maka jemu itu juga menjadikan detik-detik kematian terus saja berjalan menghampiri tanpa henti.

Kematian adalah pintu kehidupan sebenar. Kehidupan yang kekal lagi abadi tiada lagi kematian di kehidupan ini. Persiaplah diri untuk menuju ke alam itu. Alam yang tiada penghujungnya dan kematian tiada lagi mengejar..

Tanya pada diri kita adakah kita sedang mengejar kehidupan selepas kematian atau kehidupuan sebelum kematian. Apakah kita ingin kekal kepada kehidupan dunia sebagaimana kepercayaan orang kuno?Demikian berakar umbi hal ini sehingga orang-orang Mesir Kuno meyakini kebenaran keabadian manusia, sehingga mereka menciptakan kaedah yang dapat mengawet ratusan bahkan ribuan tahun.
Konon Socrates pernah berkata, sebagaimana dikutip oleh Asy-Syahrastani dalam bukunya Al-Milal wa An-Nihal (I:297),

"Ketika aku menemukan kehidupan (duniawi) kutemukan bahwa akhir kehidupan adalah kematian,
namun ketika aku menemukan kematian, aku pun menemukan kehidupan abadi. Kerana itu, kita harus prihatin dengan kehidupan (duniawi) dan bergembira dengan kematian. Kita hidup untuk mati dan mati untuk hidup."

Namun bagiku dan bagi anda cukuplah..cukuplah mati sebagai peringatan..

 
Al-Fatihah buat pemergian kandaku pada petang Khamis, 5 Mei 2011 ke alam kematian yang kekal. Moga rohnya ditempatkan bersama para mukminat solehat...amin ya rabb.

Tuesday, March 1, 2011

Bijak dan Pandai? Apa rahsianya..


Waled mendengar dalam siaran motivasi Dr. Fadhilah Kamsah dia menyebut "To Succeed is Easier Than to Fail" katanya dengan penuh semangat.Hm..sama dengan tajuk buku "It's Easier to Succeed Than to Fail" oleh Cathy S. Truett. Menarik untuk tambah ilmu dan gerakkan motivasi dalaman.
 
Sebenarnya untuk pandai juga perlukan cara. Cara untuk pandai dan dapat pula ilmu yang boleh dimanfaatkan apatah lagi mendapat keberkatan dari Allah. Ramai yang menyangka senang nak pandai dan excellent. Ya, orang pandai memang ramai..pandai putar belit dan pandai mencari helah. Walaupun dah berjawatan besar berpangkat pun kekadang mempunyai kepintaran tetapi tiada adunan ilmu + iman hingga jatuh tersungkur di pintu harta dan benda.
 
Pandai dan bijak yang dipelopori oleh ulama' Andalus sebagai contoh membawa perubahan besar kepada dunia Eropah seawal kurun ke 10 sedang Islam yang terkandung padanya al-Qur'an telah lama mengajar kejayaan dan kebijaksaan yang disebut intelektual seawal turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah. Maka para sahabat pun amalkan dan turun temurun gaya pembinaan intelek dan kebijaksanaan diwarisi hingga ke ulama' Andalus..untuk maklumat lanjut layari http://www.rahsiabijak.com/   :)

Wednesday, February 23, 2011

La Tahzan :(




Kitab La Tahzan karangan Dr. Aidh Qarni merupakan buku best seller di SEFSI, Pusat Islam USM :)
Kitab ini diterjemahkan dalam Bahasa Melayu dan bagi sesiapa yang tidak membeli dan membacanya memang sesuatu yang rugi. "Over tu... anta kata 'rugi' semata-mata tak baca buku ni!" kata seorang teman.
Ya, memang baca al-Qur'an itu lebih baik daripada segala-galanya dan tak sesiapa pun perlu membidas kenyataan ni namun dalam firman Allah yang terkandung kalimah "La Tahzan" itu perlukan kupasan dan tafsiran kepada manusia bagaimana nak menghadapi situasi-situasi yang kronik.

Dalam buku ini yang mengandungi lebih daripada 200 topik yang adakalanya berulang-ulang mengingatkan kita tentang 1001 nikmat yang Allah kurniakan. Maka apabila 1 atau 2 nikmat yang ditarik mengapa perlu bersedih? Sedangkan masih ada harapan lagi untuk kita bangkit dan mensyukuri setiap denyutan nadi. Sudah tentu hanya orang yang hidup je baca buku ni, so kenapa masih bersedih dan frustrated sampai ada yang nak terjun bangunan, minum racun dan lari daripada rumah dsb!

Kadang-kadang masalah kita ini tidak sebesar mana pun cuma manja je lebih :), sudahlah dengan mata yang membaca artikel ini saja pun kita tak mampu menilainya di sisi Allah..


Saturday, February 5, 2011

al-Rumad (conjunctivitis). Ini belum buta lagi!

Toriq disahkan mengidap al-Rumad. 2 minggu waled  dan ibunya bergilir menjaga Toriq akibat hadhanah tak terima anak-anak yang mengidap penyakit berjangkit. Ulang alik ke hospital dan klinik pakar dan akhirnya tiba masa yang sangat tidak ditunggu-tunggu doktor mengesahkan waled dapat jangkitan conjuntivitis!

Dengan kaffarah dan ujian dari Allah ni membuatkan waled betul-betul terfikir bagaimana hamba-hamba-Nya yang langsung tidak mampu melihat..Ini baru sakit mata bukan buta lagi, waled tak mampu bukak mata dan melihat cahaya sepenuhnya. Ujian-Nya tiada siapa yang menduga.

Nota berkaitan conjunctivitis:
Conjunctivitis atau lebih dikenali sebagai sakit mata adalah sejenis jangkitan mata yang mudah untuk berjangkit.

Friday, January 7, 2011

Khutbah WaLED di USM 2011-Transformasi Insan Rabbani



TRANSFORMASI INSAN RABBANI
7 JANUARI 2011
الحمد لله سبحانه، وضع الخير فيما أحل و أباح، وجعل السوء فيما حرم ومنع {وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكْماً لّقَوْمٍ يُوقِنُونَ} [المائدة:50]، له دعوة الحق وشرعة الصدق، {وَأَنَّ هَـٰذَا صِرٰطِي مُسْتَقِيمًا فَٱتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذٰلِكُمْ وَصَّـٰكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ} [الأنعام:153]، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، يضاعف الحسنات ويمحق السيئات، وأشهد أن محمدًا عبده ورسوله، صاحب الوجه الأنور والجبين الأزهر، إمام الأنبياء وسيد الحنفاء، صلوات الله وسلامه عليه وعلى آله وأصحابه وأتباعه، الذين آمنوا وهُدوا إلى الطيب من القول، وهدوا إلى صراط الحميد.
 أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَاللهِ! اتَّقُوا اللهَ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله, فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 
Firman Allah dalam surah al-A’raf:
“Dan telah Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda anugerah Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah azza wajalla dengan menyedari hakikat kewujudan kita di atas muka bumi ini lantas meningkatkan rasa bertuhankan Allah dan merendahkan keegoan diri. Dan dari situ akan tumbuh benih jatidiri sebagai individu Muslim yang terfokus kepada tuntutan Rabbani malah akan sentiasa mekar dan subur dalam minda dan sanubari.
Saudara hadirin Jumaat sekalian,
Khutbah cuba menyoroti sedikit daripada perutusan Naib Canselor  Universiti Sains Malaysia 2011 bertajuk INSANIVERSITI: MAKMURKAN NILAI KEMANUSIAAN DALAM UNIVERSITI atau Humaniversity: Transformation to Humanise the University  yang berlangsung beberapa hari lalu yang mana antara lain menuntut kepada keberanian kita semua untuk bangkit menongkah transformasi insan dari yang bersifat “Status Quo” kepada pemikiran yang boleh menerjah tempurung jumud dan static serta bergerak dalam tindakan yang lebih insani. Kita semua bukanlah sebuah manusia robotic yang dicipta oleh kilang Universiti atau mana-mana organisasi tetapi kita adalah seorang manusia yang yang dikurniakan hati dan perasaan. Itulah pokok dan pangkal segala perubahan seorang insan. Sabda rasulullah saw.
إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله ، و إذا فسدت فسد الجسد كله ألا
 و هي القلب " ( متفق عليه
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila buruk ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu”

Persoalan hati perlu difahami oleh kita semua selaku manusia yang waras dan mampu mempertimbangkan tindakan berdasarkan rencah keinsanan dan keihsanan.  Sebahagian ahli tasawwuf menyifatkan hati ini sebagai singgahsana rebutan Iblis dan nafsu. Suatu asimilasi yang bertujuan memberi gambaran bahawa begitulah apa yang disebut hati ini sangat mudah dicemari dan terdedah kepada unsur-unsur kesyaitanan dan mazmumah yang mana perlu di awasi,  dipelihara dan dirawat sebagaimana kita memelihara anggota-anggota lain dengan pelbagai produk kesihatan.

Sekiranya seketul daging seperti yang disebut dalam hadis ini tidak dipulihara maka awaslah ia akan ditakluki Iblis dan koncu-koncunya. Iblis laknatullah pula sebagaimana yang kita semua maklumi merupakan CEO kepada sebuah syarikat yang memberi servis dan bertanggungjawab dalam berorientasikan kejahatan – mensyirikan Allah, memurtadkan aqidah dan memberi idea-idea yang merosakkan dan kemusnahan kepada keharmonian serta kedamaian hidup manusia sebagaimana  perjanjianiannya kepada Allah dalam surah al-A’raf.
قال فبما  أغويتني  لأقعدن  لهم  صراطك  المستقيم ( 16 ) ثم  لآتينهم  من  بين  أيديهم  ومن خلفهم  وعن  أيمانهم  وعن  شمائلهم  ولا تجد  أكثرهم  شاكرين ( 17 (
Lalu iblis menjawab: "Oleh kerana Engkau (Ya Allah) telah menghukumku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus,
Kemudian akan aku datangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka dari orang-orang yang bersyukur (taat).



Saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mungkin ada di antara kita menterjemahkan maksud hati yang disebut diawal khutbah dan dalam hadis tadi itu ialah seketul daging yang lebih kurang setengah kilogram yang terdapat di dalam tubuh kita. Adakah itu yang dimaksudkan dengan Qalbu? Dan apakah hati itu yang perlu dibersih, disuci dan disamakkan?

Tetapi hati yang disebutkan hati atau Qalbun itu ialah Qalbun yang memiliki berbagai perasaan; sedih, gembira, bahagia, cemas, naluri, semangat, dan keinginan yang bertindak menjadi pengemudi dalam perilaku setiap insan dan inilah yang bercantum kemudian membawa maksud hakikat hati.
Abdul Wahhab al-Sha’rani memberikan pandangannya di dalam tulisannya ' al-Tabaqat al-Kubra ', menjelaskan kepada kita mengenai kepentingan hati dan ilmu tentangnya.

" Ketahuilah saudara-saudaraku...bahawa ilmu tasawuf itu merupakan suatu penjelasan mengenai ilmu yang terhasil atau muncul di hati para awliya' ketika mati hati tersebut digilap dengan amalan yang terkandung didalam al-Kitab dan al-Sunnah. Maka setiap orang yang mengerjakan amalan (suruhan) al-Qur’an dan al-Sunnah terhasillah baginya, berdasarkan amalan tersebut pelbagai ilmu, adab, rahsia dan hakikat yang lidah lemah dan kurang upaya untuk menjelaskannya "

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya proses transformasi insani ini tidak akan terlaksana melainkan kita semua melakukannya dari  dalam diri setiap individu. Apabila transformasi jiwa dan rohani telah berlaku dalam diri maka sebarang usaha kepada unsur-unsur keinsanan dan perikemanusiaan setiap hari dapat dicerna dengan mudah tanpa perlu disuruh atau dipinta.
Sebagai penutup khutbah ingin khatib selitkan sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani seorang tokoh sufi ternama. Dia didatangi oleh pembesar-pembesar  kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secara berjemaah. Dia menolak tetapi mereka berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.
Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka, beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing. Ada yang solat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang sibuk bermuzakarah bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.
Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.
Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja. Dia berkata: “Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.”
Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuhrendah. Para hadirin yang terdiri dari para dermawan, orang-orang kaya, cerdik pandai itu terasa terhina dan tidak puas hati.
Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa. Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Qadhi dipanggil untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika dia dapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.
Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan. Qadhi bertanya, “Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan?”
Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”

Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan berkata begitu?” Jawab Syeikh Abdul Qadir, “Kalau tuan Qadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.” Maka Qadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya.
Qadhi sangat mengenali bahawa Syeikh Abdul Qadir seorang yang kahsyaf.
Fahamlah beliau bahawa Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Allah. Allah tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.