Thursday, November 18, 2010

Hari Raya Eid Adha..Unta tak ada ke?




Alhamdulillah, semalam masjid al-Malik Khalid USM adakan Ibadah Qurban dan Aqiqah di perkarangan dapur Pusat Islam. Meriah dengan orang ramai yang datang tengok dan ada juga yang datang nak belajar. Belajar sembelih, melapah, memotong daging dan belajar erti pengorbanan tu sendiri. Termasuklah waled sendiri 1st time praktikal sembelih lembu. :) sebelum ni hanya sembelih kambing je..Tak dinafikan sambutan sangat menggalakkan. Penganjur dapat mengumpulkan hampir 100 orang yang ambil bahagian sama ada bahagian lembu atau kambing. 16 ekor lembu dan 6 ekor kambing semuanya. "Unta tak ada ke?" tanya wakil pejabat PR. Apa pun doa waled "Semoga Allah menerima ibadah  hamba-hamba-Nya yang ikhlas ini. amin ya Rabb".

Semasa sembang-sembang di bawah khemah melapah sempatla beberapa rakan bertanya soalan berkisar ibadah qurban dan aqiqah. Satu soalan yang waled tak dapat jawapan ialah tentang makan unta.. "batal ke wuduk kalau makan daging unta?saya dengar dalam ceramah" kata Asyraf. Waled pernah dengar tapi tak dapat nak bagi kepastian tentang hukum sebenar. Jadi waled bermonolog "hm..banyak lagi aku tak tau ni.." Hari ni sempat cari huraian yang sebenar tentang hukum tu..harap-harap dapat membantu.

“Ada seseorang yang bertanya pada Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam, “Apakah aku mesti berwuduk setelah memakan daging kambing?” Beliau bersabda, “Jika engkau mau, berwuduklah. Namun jika enggan, maka tidak mengapa engkau tidak berwuduk.” Orang tadi bertanya lagi, “ Apakah seseorang mesti berwuduk setelah memakan daging unta?” Beliau bersabda, “Iya, engkau harus berwuduk setelah memakan daging unta.”

HR. Muslim no. 360

Ibn al-Mundziri r.h berkata:


“Wajib berwuduk selepas makan daging unta kerana tsabit melalui hadis dan sanad.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, ms. 138)

Ibn Qudamah r.h berkata:

“Makan daging unta membatalkan wudhu’ serta merta sama ada dimakan secara mentah atau dimasak dan dalam keadaan tahu atau jahil.” (Rujuk al-Mughni, jil. 1, ms. 250)




Tuesday, November 9, 2010

Berjalanlah di muka bumi


Waled membelek-belek berita minggu lalu di akhbar. Banyak berita tentang kemenangan BN di pilihanraya kecil. Sebelum tu pula berita-berita kemalangan bas ekspres ditambah dengan bencana gempa dan letupan gunung merapi di Yogyakarta. Apa yang hendak disampaikan oleh akhbar sebenarnya?


Ternyata apabila insan yang kosong hatinya membaca berita-berita bencana dan malapetaka sekadar mengeluh "huh, teruk betul!". Alangkah baiknya bila diingatkan kepada kebesaran Maha Pencipta sekurang-kurangnya akan terlintas mengeluh "Masya Allah!" atau "Subhanallah!" atau "Allahu Akbar!" Bunyi macam pelikkan tapi tidak pelik bagi insan yang ada "ruh" dalam jiwanya.

Pengarah urusan media cetak dalam akhbar arus perdana di negara kita mungkin fikir 10 kali kalau keluarkan tulisan sebegini. Tapi hakikatnya inilah sumbangan mereka untuk saham yang tak akan rugi di sisi-Nya.


Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 137 bermaksud:


“Sesungguhnya telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah Allah; kerana itu berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)”

Saturday, September 18, 2010

Ke Mana Kan Ku Lari?

assalamualaikum semua.. :)


Waled mencuri-curi masa untuk update blog ni sebenarnya. Dengan tugasan hakiki sebagai pekerja , suami, bapa, anak, menantu, anggota masyarakat dan yang paling utama hamba kepada Raja Segala Raja memerlukan waled bergerak pantas seperti mereka yang sewaktu dengan waled..
Ke mana nak lari? tajuk yang dipilih untuk dicoret harini..


Sebenarnya waled sedang membaca buku bertajuk "Sesungguhnya Tuhanmu Tidak Bermata Satu" yang dihadiahkan semasa bagi pengisian di PPPJJ USM Ramadhan lalu. Pengisiannya agak padat dengan pengkisahan semula sirah bangsa Yahudi dan Kristian, agenda-agenda zionis dan diselang dengan ilustrasi-ilustrasi baru dan lama.


Bila difikir-fikirkan tentang kehidupan kita ini (sebagai Muslim) seolah-olahnya umpama lauk pauk bagi musuh Islam. Disiat, dikunyah, diratah, sekejap ditolak ketengah ke tepi dan dihirup kuahnya..Setiap saat dan ketika mereka memikirkan bagaimana nak habiskan 'lauk' ni tadi walaupun mereka sendiri tak makan tapi jadi habuan anjing-anjing mereka. Bagi mereka lauk tadi walaupun banyak, agak pedas dan berapi kadang-kadang tu tapi lauk tu ada perasa yang istimewa iaitu 'al-Wahn'..pasti boleh dilicinkan hingga menjilat jari!


Ke mana kita nak lari dalam keadaan macamni ?
Jawapannya: larilah kepada Allah..

Thursday, September 2, 2010

Pencarian Lailatul Qadr Bermula..pakej 1Malam



Subhanallah..pejam celik dah berlalu sepertiga terakhir Ramadhan al-Mubarak 1431..



Maka di masjid-masjid pun tinggal 1/3 jamaah yang betul-betul istiqamah mendirikan tarawih dan i'tikaf..dan 1/3 daripadanya juga dibimbangi rebah tidak pun tercicir dalam marathon Ramdhan kali ini.



Golongan 2/3 lagi sudah pancit dan lelah merentasi bangun duduk, bangun duduk dalam rakaat-rakaat tarawih..



Hakikatnya piala Taqwa masih boleh dijulang oleh sesiapa yang bakal bergelar muttaqin di bulan ini..bahkan piala ini bukan satu tapi sesiapa saja mampu memperolehinya!



Daripada 2/3 golongan yang lelah tadi sebahagiannya sudah pun gulung sejadah dan tutup al-Qur'an sempena kedatangan hari lebaran dan jualan hari raya..Buku-buku hutang ditambah dan tokeh-tokeh pasaraya menghamparkan carpet merah untuk mengaut ringgit -ringgit daripada umat Islam yang sudah pun gulung tikar sejadah tadi.





"Carilah lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari)


Kini Pencarian Lailatul Qadr (PLQ) pula bermula..siapakah bergelar juara dalam episod Ramadhan 1431 kali ini?




Malam-malam ganjil terus datang dan berlalu membawa lembaran-lembaran rahsia Lailatul Qadr..ganjarannya sungguh lumayan..pakej yang hanya ditawar setahun sekali khusus bagi calon-calon PLQ..yang mengiringinya bukan calang-calang: para malaikat dan Jibril selaku 'al-ruh' membawa khabar gembira dengan izin tuhan mereka iaitu Allah..


Tidak syak lagi PLQ kini semakin ke kemuncak! peserta yang layak telah nekad melalui jalan sukar antaranya menghidupkan solat-solat tahajjud, beri'tikaf dengan menggandakan zikir tahmid dan tasbih, memperhalusi tilawah dan tadabbur kitabullah malah mereka sanggup menggerakkan ahli keluarga untuk sama-sama meraih pakej 1Malam ini..


Teruskan duhai PLQ tapi kalian harus ingat bukan LQ yang kalian pertuhankan tapi Yang Maha Pengurnia LQ itu yang perlu kalian dambakan..selamat berjuang!